GAZA, 30 Jun - Sekurang-kurangnya 6,175 rakyat Palestin telah terbunuh dan 21,378 lagi cedera sejak Israel memperbaharui serangan di Gaza pada 18 Mac lalu.
Jumlah itu menjadikan angka keseluruhan korban sejak 7 Oktober 2023, kini mencecah 56,500 orang, manakala angka kecederaan kini sebanyak 133,419.
Pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan dalam tempoh 24 jam yang lalu sahaja, serangan Israel meragut 88 lagi nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 365 yang lain.
Serangan Israel pada Ahad mengorbankan 88 lagi nyawa rakyat Palestin dan mencederakan 365 yang lain - Foto AFP
Sementara itu, lima rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera pada petang Ahad dalam satu serangan tentera Israel berhampiran tapak agihan bantuan di bandar Rafah, selatan Gaza.
Secara keseluruhan, lebih 550 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di tapak agihan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation, sebuah agensi swasta yang beroperasi di luar kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kemanusiaan tradisional.
Gaza Humanitarian Foundation telah menjadi kontroversi sejak ia dilancarkan pada 27 Mei lalu, berikutan penglibatan besar tentera Israel dan kejadian tembakan semasa proses agihan bantuan.
Angka keseluruhan korban kini mencecah 56,500 orang, manakala 133,419 lagi cedera - Foto AFP
Kumpulan kemanusiaan menuduh organisasi itu sengaja mewujudkan halangan kepada orang awam Gaza, memaksa mereka memilih antara kelaparan atau mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan bekalan asas.
Mereka mengecamnya sebagai "pembunuhan beramai-ramai atas nama bantuan kemanusiaan" yang dan perlu dihentikan segera.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, turut mengecam organisasi tersebut awal bulan ini, menyifatkannya sebagai tindakan keji dan perangkap maut yang mengorbankan lebih banyak nyawa daripada yang diselamatkan. - REUTERS