fb fb fb fb fb

Angka korban di Gaza cecah 10,000 hampur separuh daripadanya kanak-kanak

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 7 November- Angka kematian di Semenanjung Gaza melepasi angka 10,000, kata Kementerian Kesihatan Gaza, ketika pertempuran memasuki hari ke-31 sejak 7 Oktober.

Setakat ini, kementerian itu memaklumkan angka kematian di Gaza telah mencecah 10,022 orang, selepas malam pengeboman di wilayah pantai.

Angka itu termasuk lebih 4,000 kanak-kanak.

Amerika Syarikat mengakui terdapat 'beribu-ribu' korban awam di Gaza, selepas Presiden Joe Biden sebelum ini mempersoalkan kesahihan nombor yang diterbitkan oleh pihak berkuasa Hamas.

"Berkaitan dengan korban awam di Gaza... kami tahu jumlahnya mencecah ribuan," kata jurucakap Pentagon Brigedier Jeneral Pat Ryder kepada wartawan.

Lintasan Rafah antara Semenanjung Gaza dan Mesir dibuka semula pada Isnin untuk membenarkan pemindahan warga asing, penduduk dengan dua warganegara dan penduduk Palestin yang cedera, kata kerajaan Hamas.

Terminal itu dibuka selama tiga hari minggu lalu sebelum ditutup semula pada hujung minggu di tengah-tengah pertikaian mengenai laluan ambulans.

Enam ambulans tiba di bahagian persimpangan sempadan Mesir pada Isnin membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dibawa ke hospital, diikuti oleh kumpulan pertama penduduk dua warganegara minggu ini, kata pegawai sempadan Mesir.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata pihaknya ada mengiringi beberapa ambulans, dan ketua pejabatnya di Gaza, William Schomburg, menyifatkan 'satu kelegaan yang besar untuk mengetahui bahawa pesakit ini selamat dan akan menerima rawatan perubatan segera'.

Sementara itu di Tebing Barat, dalam kawasan yang diduduki Israel, seorang warga Palestin menjadi individu keenam terbunuh di wilayah itu pada Isnin. Remaja berusia 18 tahun itu ditembak oleh tentera Israel di Beit Fajar, di selatan Tebing Barat, lapor kementerian kesihatan Palestin.

Sebelum ini, kementerian kesihatan Palestin berkata tentera Israel membunuh seorang lelaki Palestin di bandar Halhul dan empat di Tulkarem, kedua-duanya di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Terdahulu, tentera Hamas di Lubnan berkata mereka telah melepaskan 16 roket ke arah Israel, menyasarkan kawasan di selatan bandar pantai Haifa.

Bagaimanapun, tentera Israel melaporkan kira-kira 30 peluru telah dilepaskan dari Lubnan dan berkata ia telah menembak balik ke arah lokasi pelancaran.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE