fb fb fb fb fb

Angka kematian rakyat Palestin meningkat 37,718

Foto REUTERS

GAZA, 27 Jun- Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Gaza telah meningkat kepada 37,718.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, tentera Israel telah membunuh 60 orang dan mencederakan 140 yang lain dalam tempoh 24 jam lalu.

"Serangan berkenaan menjadikan jumlah kematian rakyat Palestin kepada 37,718 dan kecederaan kepada 86,377, sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober lalu," menurut kenyataan itu.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa Bersatu (FAO) memberi amaran bahawa seluruh Gaza menghadapi risiko kebuluran yang tinggi.

Peringatan itu dibangkitkan kerana laporan baharu menunjukkan bahawa hampir keseluruhan penduduk menghadapi kekurangan bekalan makanan yang teruk, dengan satu daripada lima penduduk Gaza berada di ambang kebuluran.

Kira-kira 459,000 orang di Gaza atau 22 peratus daripada penduduk berada dalam keadaan kekurangan makanan.

Keadaan itu disebabkan konflik Israel-Hamas yang berterusan dan sekatan semasa ke atas konvoi kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, konflik di Gaza turut memberi kesan buruk kepada sistem pendidikan.

Menerusi laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, konflik itu telah menyebabkan kemusnahan 110 sekolah dan universiti, setakat 17 Jun lalu.

Konflik tersebut juga meragut nyawa lebih 10,000 pelajar.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM