fb fb fb fb fb

Angka kematian penduduk Palestin meningkat 42,438 orang

Pengeboman Israel di Jabalia, utara Gaza/ AFP

GAZA, 18 Oktober- Angka kematian penduduk Palestin meningkat kepada 42,438 orang.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, jumlah tersebut termasuk 29 kematian rakyat Palestin yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 93 yang lain cedera.

Pihak Berkuasa Kesihatan Gaza menerusi kenyataan berkata jumlah mangsa yang mengalami kecederaan adalah seramai 99,246 orang. Majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Perkhidmatan kecemasan tidak dapat membantu mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan atau mengeluarkan mayat di seluruh kawasan konflik itu. Ini berikutan pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan pasukan pertahanan awam.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengecam serangan ke atas sebuah ambulans ketika petugas kesihatan sedang membawa seorang pesakit berhampiran Qalqilya, utara Tebing Barat yang diduduki.

Ia melibatkan serangan fizikal ke atas pemandu ambulans dan doktor yang mengiringi, sebagai sebahagian daripada serangan yang semakin meningkat oleh tentera dan penjajah Israel terhadap sistem penjagaan kesihatan di Tebing Barat dan wilayah Gaza.

Keganasan tersebut menghalang pesakit daripada menerima rawatan perubatan dan pengabaian secara terang-terangan terhadap semua undang-undang dan konvensyen hak asasi kemanusiaan antarabangsa.

Kementerian Kesihatan mengulangi rayuannya kepada masyarakat antarabangsa dan semua organisasi kesihatan untuk mengambil tindakan segera menyediakan perlindungan bagi sektor kesihatan Palestin serta memastikan sokongan perubatan yang diperlukan untuk rakyat dalam menghadapi pencerobohan Israel.-WAFA

 

 

 

ROSLINA BINTI DIN