fb fb fb fb fb

Angka kematian di Gaza cecah 61,430, Israel didesak henti pengambilalihan

Kanak-kanak di Gaza mencari sumber makanan di kawasan yang musnah akibat serangan Israel/ REUTERS

GAZA, 11 Ogos - Angka korban di Gaza akibat serangan Israel meningkat kepada 61,430 orang, manakala 153,213 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, dalam tempoh 24 jam lalu, serangan Israel di Gaza mengakibatkan kematian 61 penduduk Palestin dan 363 lagi cedera. Daripada jumlah itu, 35 terbunuh dan 304 cedera ketika menunggu untuk menerima bantuan kemanusiaan.

Sebelum Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengadakan sesi tergempar berhubung situasi di Gaza pada Ahad, Britain, Denmark, Perancis, Greece dan Slovenia mengeluarkan kenyataan bersama mengecam keras keputusan Israel untuk memperluaskan pengambilalihan, serta mendesak rejim Zionis itu menarik segera rancangan tersebut.

Kenyataan itu memberi amaran bahawa rancangan tersebut berpotensi melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memburukkan lagi ancaman terhadap nyawa orang awam di Gaza, sekali gus memperparah krisis kemanusiaan.

Negara-negara berkenaan turut menegaskan bahawa sebarang tindakan pengilhakan atau peluasan penempatan adalah menyalahi undang-undang.

Kenyataan itu turut memaklumkan risiko kebuluran di Gaza semakin meningkat, dengan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kelaparan. Selain itu penduduk terpaksa mempertaruhkan nyawa untuk mendapatkan makanan di pusat agihan bantuan.

Lima negara tersebut menggesa Israel menarik balik sekatan terhadap penghantaran bantuan, memansuhkan syarat visa dan pendaftaran yang tidak munasabah terhadap pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, serta membuka semua laluan darat bagi memastikan kemasukan bekalan penting seperti makanan, ubat-ubatan, bahan api dan air bersih ke Gaza.

Kenyataan itu turut menggesa semua pihak mencapai gencatan senjata kekal dengan segera, membebaskan semua tebusan dan mempercepatkan usaha penyelesaian dua negara demi mencapai keamanan jangka panjang antara Israel dan Palestin.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI