fb fb fb fb fb

Penemuan alat batu di Sulawesi bukti kehadiran manusia 1.5 juta tahun lalu

Sekumpulan saintis menemukan beberapa siri alat batu di Pulau Sulawesi, Indonesia yang dipercayai menjadi bukti kehadiran manusia sejak 1.5 juta tahun lalu di kepulauan antara Asia dan Australia/ REUTERS

SULAWESI, 11 Ogos - Sekumpulan saintis menemukan beberapa siri alat batu di Pulau Sulawesi, Indonesia yang dipercayai menjadi bukti kehadiran manusia sejak 1.5 juta tahun lalu di kepulauan antara Asia dan Australia, sekali gus berpotensi menjadi hominid terawal di rantau Wallacea.

Ahli arkeologi dari Australia dan Indonesia menemukan peralatan kecil yang diasah, digunakan untuk memotong haiwan kecil dan mengukir batu, di bawah lapisan tanah di daerah Soppeng, Sulawesi Selatan.

Ujian penjejakan radioaktif terhadap alat-alat itu serta gigi haiwan yang ditemukan di kawasan sekitar menunjukkan usia sehingga 1.48 juta tahun.

Penemuan itu berpotensi mengubah teori penghijrahan awal manusia, menurut artikel yang diterbitkan ahli arkeologi berkenaan dalam jurnal Nature pada Ogos.

1108 LNR INDO BATUAntara peralatan batu yang ditemukan di Pulau Sulawesi, Indonesia/ REUTERS

Sebelum ini, manusia awal di Wallacea — yang dikenali sebagai Homo erectus — dipercayai hanya mendiami Pulau Flores, Indonesia dan Pulau Luzon, Filipina sekitar 1.02 juta tahun lalu. Mereka sebelum ini dianggap tidak mampu melakukan pelayaran laut jarak jauh, sekali gus menjadikan penemuan di Sulawesi sebagai bukti penting dalam kajian teori penghijrahan.

"Ini merupakan artifak yang dihasilkan oleh manusia purba yang hidup jauh sebelum evolusi spesies kita, Homo sapiens.

"Kami percaya Homo erectus berjaya menyeberangi lautan yang luas dari tanah besar Asia ke Pulau Sulawesi sekurang-kurangnya 1 juta tahun lalu," kata Ketua Ahli Arkeologi dari Universiti Griffith, Queensland, Australia, Adam Brumm.

Sampel berkenaan digali dari kawasan perbukitan Walanae di Sulawesi, lokasi yang pernah mendedahkan penemuan fosil dan peralatan purba berusia 700,000 tahun pada 2019.

Rantau Wallacea merangkumi beberapa pulau di Indonesia termasuk Sulawesi, Lombok, Flores, Timor dan Sumbawa yang terletak di antara Borneo serta Jawa, dan Australia serta Papua New Guinea.

Kawasan itu dinamakan sempena ahli sejarah alam, Alfred Russel Wallace yang mengkaji fauna dan flora di wilayah tersebut.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI