fb fb fb fb fb

Angka kematian akibat ribut dan puting beliung di AS meningkat

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 2 April- Angka kematian akibat ribut yang mengganas di kawasan selatan dan timur AS dengan angin kencang serta puting beliung kuat telah meningkat kepada 18.

Berpuluh-puluh lagi cedera, kata pegawai pada Sabtu.

Jurucakap agensi pengurusan kecemasan di Tennessee, salah satu negeri paling teruk dilanda ribut yang melanda sejak Jumaat, mengesahkan tujuh lagi kematian kepada AFP.

Ia merupakan pertambahan kepada 11 kematian yang dilaporkan sebelum ini di di Arkansas, Mississippi dan Alabama di selatan, dan Indiana dan Illinois di Midwest.

Ribut pada Sabtu melanda pantai timur AS, beserta ribut petir, hujan batu dan angin kencang diramalkan hingga lewat Ahad.

Pada Jumaat, ribut dengan beberapa puting beliung melanda Arkansas, termasuk di ibu negara Little Rock, di mana sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, kata gabenor negeri itu.

Gabenor Sarah Huckabee Sanders telah mengisytiharkan darurat dan mengaktifkan pengawal negara untuk membantu usaha pemulihan.

Dia berkata dia telah bercakap dengan Presiden Joe Biden, yang telah berjanji untuk mempercepatkan bantuan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan juga telah mengeluarkan amaran puting beliung untuk beberapa negeri lain, dari sejauh utara Iowa ke negeri selatan Mississippi, di mana angin berpusing minggu lalu membunuh 25 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Bencana turut melanda bandar Belvidere di Illinois, di luar Chicago, apabila cuaca buruk menyebabkan bumbung dan sebahagian dinding Teater Apollo runtuh ketika konsert kumpulan muzik heavy metal sedang berlangsung.

Rakaman TV menunjukkan kakitangan kecemasan membawa penonton konsert yang cedera di atas pengusung, manakala video yang disiarkan di media sosial menunjukkan runtuhan separas pinggang di atas lantai tempat konsert, dan bumbung yang berlubang.

Ketua Bomba Belvidere Shawn Schadle melaporkan satu kematian dan 28 cedera, termasuk lima orang dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius.

Di negeri jiran Indiana, tiga orang terbunuh akibat ribut di Sullivan County, sempadan Illinois.

Puting beliung semalaman juga meragut satu nyawa di Pontotoc County, Mississippi, dan satu di Madison County, Alabama.

Lebih 600,000 rumah terputus bekalan elektrik pada hari Sabtu, menurut laman web poweroutage.us.

Ketika ribut menjejaki kawasan timur laut, jumlah gangguan bekalan kuasa tertinggi dicatatkan pada petang Sabtudi negeri Ohio dan Pennsylvania.

Beberapa negeri tengah Atlantik berada bawah amaran angin kencang.

"Tiupan angin maksimum boleh menghampiri 60 batu (100 kilometer) sejam di seluruh kawasan Appalachian, atas Lembah Ohio dan Mid-Atlantic hari ini," menurut amaran Sistem Cuaca Kebangsaan.

Puting beliung adalah perkara biasa di Amerika Syarikat, terutamanya di tengah dan selatan negara itu.

Presiden Biden pada Jumaat melawat bandar Rolling Fork di Mississippi, salah satu kawasan yang paling teruk terjejas akibat puting beliung minggu lalu.

Pada Disember 2021, puting beliung membunuh kira-kira 80 orang di Kentucky.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu