fb fb fb fb fb

Andriy Hnatov Ketua Staf Am Ukraine baharu

Andriy Hnatov/ Reuters

KIEV, 17 Mac- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy melantik Mejar Jeneral Andriy Hnatov sebagai Ketua Staf Am Ukraine baharu ketika negara itu dalam usaha untuk mempercepat pembaharuan tentera.

Zelenskiy menerusi ucapan video berkata ,Hnatov akan ditugaskan untuk menjadikan tentera Ukraine lebih bersedia untuk berperang.

"“Hari ini, saya membuat pertukaran kakitangan dalam Angkatan Tentera Ukraine. Bersama-sama dengan Ketua Komander Oleksandr Syrskyi dan Menteri Pertahanan Rustem Umerov, kami memutuskan bahawa Ketua Staf Am yang baharu ialah Andriy Hnatov, individu yang mempunyai pengalaman tempur.

"Tugasnya adalah untuk memaksimumkan pengalaman tempur briged kami dalam merancang kedua-dua operasi pertahanan dan serangan, serta membangunkan sistem kor secara aktif," katanya.

Pada awal tahun ini, pegawai tentera Ukraine berkata, negara itu akan beralih daripada sistem berasaskan briged ke arah sistem "kor" unit yang lebih besar.

Ia bertujuan meningkatkan penyelarasan dalam kalangan pasukan tentera negara itu di sepanjang lebih 1,000 kilometer dan mempercepat membuat keputusan.

Zelenskiy juga berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Kanada yang baharu Mark Carney dan membincangkan sekatan ke atas Rusia dan mesyuarat menteri luar G7 yang berlangsung di La Malbaie, Kanada pada Sabtu

"Saya baru sahaja bercakap dengan Perdana Menteri Kanada Mark Carney. Saya berterima kasih kepadanya kerana menyokong Ukraine untuk melindungi rakyat kami, membawa keamanan dan menjamin keselamatan.

"Kami membincangkan sekatan terhadap Rusia, terutamanya menyasarkan armada kapal tangki Rusia, bank dan skim penjanaan hasil negeri. Kami berbincang dengan Carney berkenaan keputusan mesyuarat menteri luar G7 dan dokumen akhir mesyuarat itu."- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI