fb fb fb fb fb

Ancaman belon, lapangan terbang utama Lithuania ditutup

Foto hiasan/REUTERS

VILNIUS, 1 Disember – Lapangan Terbang Vilnius di Lithuania sekali lagi terpaksa menghentikan sementara operasi pada Ahad selepas objek dipercayai belon dikesan memasuki ruang udara, menjadikan ia insiden terbaharu yang menjejaskan sektor penerbangan di negara Baltik itu.

Sejak awal Oktober lalu, Lapangan Terbang Vilnius telah beberapa kali diarahkan tutup berikutan insiden pencerobohan objek tidak dikenali.

Industri penerbangan Eropah juga semakin kerap terjejas dengan kejadian serupa, termasuk pengesanan dron di Copenhagen dan Brussels.

Pihak berkuasa Lithuania mendakwa belon cuaca digunakan kumpulan penyeludup untuk membawa rokok seludup merentasi sempadan.

Mereka turut menyalahkan Presiden Belarus, Alexander Lukashenko kerana membenarkan taktik itu digunakan, dan menilainya sebagai satu bentuk “serangan hibrid”.

Sebagai langkah keselamatan, Lithuania menutup kedua-dua pintu masuk sempadan dengan Belarus pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, pintu sempadan berkenaan dibuka semula minggu lalu selepas gangguan trafik udara dilihat reda.

Lukashenko dalam reaksinya mengecam tindakan Lithuania dan menyifatkan penutupan itu sebagai “penipuan gila,” sambil menuduh Barat mengatur perang hibrid terhadap Belarus dan Rusia, sekali gus mencetuskan era baharu sempadan berpagar dawai berduri. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN