COLOMBO, 1 Disember – Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake menyifatkan Taufan Ditwah sebagai “operasi menyelamat paling sukar dalam sejarah negara itu”, ketika pasukan keselamatan bergelut memindahkan mangsa yang masih terperangkap akibat banjir besar dan tanah runtuh.
Setakat Ahad, angka kematian meningkat kepada 212 orang, manakala 218 lagi dilaporkan hilang, menurut pegawai pengurusan bencana, selepas paras air yang terus meningkat menyebabkan sebuah empangan pecah dan menyukarkan operasi menyelamat yang kini memasuki hari keempat.
Hampir satu juta penduduk di selatan negara pulau itu terjejas, dengan kira-kira 200,000 orang dipindahkan ke pusat perlindungan akibat hujan lebat serta banjir besar yang melanda sejak Khamis, menurut Pusat Pengurusan Bencana.
Fenomena hujan luar biasa itu turut mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit di wilayah tengah, manakala sungai yang melimpah telah menenggelamkan seluruh bandar di beberapa daerah.
Lebih 120 individu telah diselamatkan menggunakan helikopter selepas air melimpahi Empangan Takungan Mavil Aru di bahagian timur negara itu, sementara puluhan keluarga dilaporkan masih terkandas di kediaman mereka di ibu kota komersial, Colombo. -REUTERS