fb fb fb fb fb

Ana menyebabkan 77 orang terbunuh, ratusan ribu penduduk terjejas

FOTO AFP

MADAGASCAR, 28 Januari- Jumlah kematian akibat Ribut Tropika Ana yang melanda tiga negara di selatan Afrika meningkat kepada 77 orang.

Jumlah korban itu dilaporkan tatkala pasukan penyelamat masih bertungkus lumus memulihkan kemudahan infrastruktur yang musnah dan membantu ratusan ribu mangsa.

Membawa hujan lebat, Ribut Tropika Ana membadai Madagascar Isnin lalu seterusnya bergerak ke Mozambique dan Malawi.

Ketika ini, pasukat penyelamat dari tiga negara masih menilai tahap kerosakan tatkala satu lagi ribut dilaporkan berlaku di Lautan Hindi.

Pada Khamis malam, Madagascar mengisytiharkan darurat bencana selepas jumlah kematian meningkat kepada 48 orang. Mozambique pula melaporkan 18 kematian sementara 11 lagi di Malawi. Ribut kecil turut dilaporkan di Zimbabwe, namun tiada kematian direkodkan.

Di tiga negara yang paling terjejas itu, puluhan ribu rumah rosak atau musnah. Ada penghuni dilaporkan terperangkap apabila kediaman mereka runtuh akibat hujan lebat. Banyak kawasan dilanda banjir termasuk ladang, ternakan, jambatan dihanyutkan arus deras; memusnahkan mata pencarian penduduk.

Di Madagascar 130,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman ke sekolah dan gimnasium yang dijadikan tempat perlindungan.

“Kami hanya sempat membawa barang penting,” kata seorang penduduk Berthine Razafiariso yang berteduh di gimnaisum bersama 10 ahli keluarganya. -AFP

 

Media Baharu