fb fb fb fb fb

Aktivis simbah sup pada potret Mona Lisa di Paris

Tangkap layar video menunjukkan dua aktivis alam sekitar daripada kumpulan yang digelar 'Riposte Alimentaire' (Food Retaliation) membaling sup pada lukisan 'Mona Lisa' (La Joconde) di Muzium Louvre di Paris/ AFP

PARIS, 28 Januari- Dua penunjuk perasaan hari ini membaling sup ke arah kaca kalis peluru yang melindungi potret Mona Lisa karya Leonardo da Vinci di Muzium Louvre di ibu negara Perancis itu.

Tindakan itu dibuat setelah protes selama beberapa hari dilakukan petani di Perancis untuk menuntut gaji, cukai dan peraturan yang lebih baik.

“Apa yang lebih penting? Seni atau hak untuk mendapatkan makanan yang sihat dan mampan. Sistem pertanian lumpuh. Petani kami mati di tempat kerja," soal mereka sambil berdiri di hadapan lukisan itu dan bercakap secara bergilir-gilir.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Gabriel Attal mengumumkan beberapa langkah, tetapi sekatan jalan raya berterusan di bahagian berlainan di negara ini.

Tindakan ini rentetan siri aksi aktivis iklim terhadap lukisan terkenal dunia untuk menuntut lebih banyak tindakan untuk menghapuskan bahan api fosil dan melindungi bumi ini.

Ia bukan serangan pertama ke atas potret Mona Lisa.

Pada Mei 2022, seorang lelaki berpakaian seperti wanita tua dilaporkan melompat daripada sebuah kerusi roda dan melumurkan kek pada lukisan Mona Lisa.

Lelaki itu pada awalnya cuba memecahkan penghadang kaca kalis peluru yang menutupi lukisan berkenaan.

Apabila gagal berbuat demikian, dia melumur kek untuk menutup lukisan itu sepenuhnya.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI