fb fb fb fb fb

Aktivis berarak di Venice, kecam perkahwinan mewah Jeff Bezos

Foto Reuters

VENICE, 29 Jun- Kira-kira 1,000 aktivis membanjiri jalan-jalan di Venice pada Sabtu, hari terakhir sambutan perkahwinan mewah selama tiga hari jutawan teknologi, Jeff Bezos dan pasangannya, Lauren Sanchez.

Demonstrasi itu bagi membantah ketidaksamaan sosial serta kesan pelancongan berlebihan terhadap bandar bersejarah Venice.

Perarakan bermula di hadapan stesen kereta api utama Venice dan bergerak sejauh kira-kira 1.5 kilometer menuju ke Jambatan Rialto, lokasi ikonik yang sering menjadi tumpuan pelancong.

Aktivis membawa sepanduk seperti “Kisses yes, Bezos No” dan “No space for Bezos” yang memaparkan imej roket, sindiran terhadap syarikat angkasa milik Bezos, Blue Origin.

Sepanduk besar turut digantung di atas Jambatan Rialto manakala suar berwarna-warni dinyalakan sepanjang perarakan sebagai simbol penentangan terhadap apa yang disifatkan sebagai pencerobohan elit ke atas ruang awam rakyat biasa.

“Bezos datang ke sini seolah-olah Venice ini taman tema peribadinya untuk kenduri kahwin,” kata salah seorang aktivis, yang turut mengecam jurang kekayaan dan monopoli ruang bandar oleh golongan elit global.

Penunjuk perasaan turut menzahirkan kebimbangan terhadap impak pelancongan massa yang semakin menekan penduduk tempatan, termasuk kenaikan kos sara hidup dan pengusiran penduduk dari pusat bandar.

Populasi di pusat bersejarah Venice kini jatuh di bawah 50,000 orang berbanding lebih 100,000 pada 50 tahun lalu.

Kebimbangan terhadap protes yang lebih besar memaksa pasangan Bezos memindahkan majlis penutup perkahwinan mereka dari kawasan pusat bandar ke Arsenale, sebuah lokasi lebih terpencil di bahagian timur Venice.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM