fb fb fb fb fb

Akhbar tertua di dunia ditamat cetakannya

(FOTO AFP)

VIENNA, 28 April- Parlimen Austria memutuskan untuk menamatkan cetakan harian salah satu akhbar tertua di dunia iaitu Wiener Zeitung sebelum diteruskan secara dalam talian penerbitannya.

Keputusan itu dilihat sebagai langkah terakhir selepas berlaku pertikaian selama bertahun-tahun mengenai akhbar milik kerajaan Austria.

Akhbar yang mula diterbitkan pada tahun 1703 itu pada mulanya menggunakan nama Wiennerisches Diarium, sebelum dinamakan semula sebagai Wiener Zeitung pada tahun 1780.

Presiden Ketiga Parlimen Austria, Norbert Hoger, berkata keputusan itu diterima pakai dengan majoriti, manakala undang-undang baharu bagi memindahkan penerbitan akhbar berkenaan dalam talian adalah pada 1 Julai ini.

Akhbar terbabit akan mengekalkan sekurang-kurangnya 10 penerbitan cetakan setahun, bergantung pada dana yang ada.

Menurut Persatuan Penerbit Berita Dunia, Wiener Zeitung pada tahun 2004 adalah salah satu akhbar tertua yang masih dalam edaran.

Akhbar berkenaan dijadikan sebagai saluran berita rasmi kerajaan Austria dan akan beralih ke platform dalam talian.

Kerajaan Austria mendakwa perkara itu adalah selaras dengan arahan Eropah untuk memusatkan dan menerbitkan maklumat rasmi dalam talian.


(Edisi terakhir akhbar Austria Wiener Zeitung/ AFP)

Sementara itu, Wiener Zeitung juga akan menubuhkan hab media, agensi kandungan dan pusat latihan untuk wartawan.

Akhbar Wiener Zeitung mengedarkan kira-kira 20,000 naskhah pada hari bekerja dan dua kali ganda jumlahnya pada hujung minggu.

Naib Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) Vera Jourova, berkata pihaknya tidak berpuas hati terhadap perkara berkenaan.

"Saya rasa selama ini akhbar Wiener Zeitung memainkan peranan yang baik dalam menyalurkan berita kepada orang ramai," katanya.

Selasa lalu, ratusan orang awam turun ke jalan di Vienna bagi membantah tindakan kerajaan berkenaan. - AFP

Media Baharu