RAFAH, 10 April - Ketika umat Islam negara lain teruja meraikan Aidilfitri, rakyat Palesitn terus berdepan serangan dibedil rejim Zionist Israel.
Terbaharu, tentera Israel mengerakkan segala aset bagi menggempur Deir Al-Balah di tengah Gaza serta Rafah.
Cuma dua kawasan itu sahaja lagi yang belum diserang tentera negara haram tersebut.
Angka kematian rakyat Palestin pula kini melebihi 33,000 orang dengan 2,000 daripadanya terkorban sepanjang Ramadan.
Serangan tanpa henti rejim Zionis terus mendapat kecaman dunia terutamanya serangan di bulan yang mulia.
Penduduk Palestin di Gaza bukan sahaja berdepan dengan serangan malah mereka juga di ambang kebuluran.
Penduduk Palestin berkata, bekalan makanan masih belum mencukupi untuk meredakan keadaan ketika hampir semua penduduk wilayah kecil itu bersesak-sesak dipindahkan dari kediaman mereka.
Kelihatan kanak-kanak berteduh dan beratur panjang ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengagihkan makanan di tengah bandar Deir al-Balah.
"Tiada makanan yang mencukupi. Saya tidak menerima kotak makanan bagi tempoh dua bulan. Semalam kami mendapat kotak yang tidak mencukupi untuk saya atau anak-anak saya serta 18 orang yang lain.
"Jika seorang sahaja mendapat kotak setiap hari, ia tidak akan mencukupi," kata Fayez Abdelhadi di kem itu.
Beliau berkata penghantaran bantuan itu juga tidak mempunyai bekalan kebersihan asas seperti sabun dan detergen di saat mereka terpaksa bergelumang dengan krisis kesihatan awam kerana tidak mendapatkan air bersih dan berisiko berdepan dengan penyakit. - Reuters