fb fb fb fb fb

Singapura, Indonesia dan Thailand sambut Raya serentak hari ini

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi 1 Syawal di pelabuhan Sunda Kelapa/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 10 April - Umat Islam di Singapura, Indonesia, dan Thailand menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Di SINGAPURA, pengumuman dibuat Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam (MUIS) pada Selasa.

“Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS (Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura), anak bulan Syawal berada di atas ufuk Singapura selama 32 minit.

“Oleh yang demikian, suka saya isytiharkan bahawa 1 Syawal 1445H jatuh pada Rabu, bersamaan 10 April 2024,” katanya dalam klip video tersebut.

Di JAKARTA, Menteri Hal Ehwal Agama Indonesia Yaqut Cholil Qouma dalam membuat pengumunan tersebut berkata keputusan dicapai bersama para ulama, organisasi Islam dan pakar falak di mesyuarat isbat atau penentuan Hari Raya Aidilfitri, di kementerian itu semalam.

"Berdasarkan kedudukan hisab hilal di wilayah Indonesia yang sudah memenuhi kriteria MABIMS dan laporan hilal yang terlihat, disepakati bahawa 1 Syawal 1445H jatuh pada Rabu, 10 April," katanya.

Justeru, Yaqut dalam sidang media berkata mudah-mudahan keputusan itu mewujudkan kebersamaan umat Islam di Indonesia dalam menjalankan ibadah, bermuafakat dan bermasyarakat.

Sementara itu di BANGKOK, Sheikhul Islam Thailand ke-19, Arun Boonchom berkata umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Rabu selepas anak bulan kelihatan setelah matahari terbenam semalam.

Beliau mengumumkan perkara itu menerusi siaran langsung di laman media sosial Facebook.

Sheikhul Islam merupakan pihak berkuasa Islam tertinggi di Thailand.

GRACE AISYAH KEDAYAN