fb fb fb fb fb

Aidilfitri : Sudan terus dihujani tembakan, letupan

(Jemaah Islam selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Hara al-Rabaa di Khartoum,
Sudan pada 21 April 2023/AFP)

KHARTOUM, 21 April- Lebih 400 orang terbunuh dan lebih 3,500 lagi cedera dalam pertempuran di Sudan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Empat ratus tiga belas orang meninggal dunia dan 3,551 orang cedera," menurut jurucakap WHO Margaret Harris kepada pemberita pada taklimat akhbar di Geneva.

Sementara itu, agensi kanak-kanak PBB UNICEF menambah bahawa sekurang-kurangnya sembilan kanak-kanak adalah antara yang maut dan lebih 50 cedera.

Tanpa mengendahkan gesaan kuasa dunia bagi pelaksanaan gencatan senjata di akhir Ramadan, Sudan terus dihujani insiden tembakan dan letupan khususnya di ibu negara dan beberapa lokasi lain.

Pertempuran di Sudan yang meletus sejak Sabtu lalu sehingga kini mengorbankan lebih 300 orang, manakala ribuan lagi cedera apabila tercetusnya pertarungan antara pasukan yang setia kepada ketua tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan dengan Rapid Support Forces (RSF) atau dikenali sebagai Hemeti, dipimpin timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo.

Menurut Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, beberapa kawasan Khartoum dibom selain berlakunya pertempuran dan tembakan yang memasuki hari ke-enam secara berturut-turut, walaupun menghampiri Aidilfitri.

Khartoum menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit membabitkan serangan udara dan kereta kebal yang menyasarkan daerah yang padat, dengan kebanyakan lima juta penduduknya berlindung di rumah tanpa elektrik, makanan dan minuman, malah sistem komunikasi juga dilaporkan terganggu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, secara berasingan menggesa gencatan senjata sekurang-kurangnya tiga hari bagi menghormati Aidilfitri, ketika letupan dan tembakan masih bergema di Khartoum.

Menurut RSF iaitu pasukan dibentuk daripada anggota militia Janjaweed yang mengetuai keganasan melampau selama bertahun-tahun di wilayah barat Darfur, mereka akan komited pada gencatan senjata selama 72 jam bermula Subuh (waktu tempatan).

Namun, seperti mana dua gencatan senjata dengan tempoh 24 jam yang diisytiharkan sebelum ini, ia masih gagal bertahan.

Malah, kedengaran bunyi tembakan yang kuat berterusan, pagi tadi, dengan asap hitam menutupi seluruh ibu negara.

Abdel Fattah, yang buat pertama kali muncul di televisyen sejak pertempuran bermula minggu lalu, berkata Sudan meraikan Aidilfitri kali ini dengan sambutan berdarah membabitkan kemusnahan, kehancuran dan bunyi peluru yang 'diutamakan' daripada kegembiraan.

"Kita berharap akan dapat keluar dari ujian ini dengan lebih bersatu... satu tentera, satu suara menuju kepada kuasa rakyat," katanya melalui video rakaman, yang menunjukkan beliau duduk di belakang meja dengan pakaian seragam tentera.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran keganasan boleh menyebabkan jutaan lagi rakyat terjerumus ke dalam kelaparan di negara yang mana satu pertiga daripada keseluruhan populasi 15 juta orang, memerlukan bantuan.

(Kepulan asap kelihatan di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kahrtoum, Sudan susulan serangan
Pasukan Sokongan Pantas (RSF) pimpinan Jeneral Mohamed Hamdan Daglo dan tentera Sudan
diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan/AFP)

WFP kini menangguhkan operasinya di Sudan selepas tiga pekerja mereka terbunuh pada Sabtu lalu.

Pertikaian sengit antara Abdel Fattah danMohamed Hamdan tertumpu kepada perancangan integrasi RSF ke dalam tentera, iaitu syarat utama untuk perjanjian akhir yang bertujuan memulihkan peralihan demokrasi Sudan.

Kedua-dua pemimpin tentera itu, menggulingkan presiden autokratik Omar al-Bashir pada April 2019 dalam bantahan besar-besaran terhadap tiga dekad pemerintahan kuku besinya.

Pada Oktober 2021, mereka sekali lagi bekerjasama dalam rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan awam yang ditabalkan selepas kejatuhan Bashir, sekali gus menyebabkan peralihan yang disokong antarabangsa kepada demokrasi, tidak tercapai.

Sehingga kini, orang awam dilihat semakin terdesak untuk menyelamatkan diri dengan ribuan mereka sanggup mengambil risiko melarikan diri dari Khartoum, walaupun jalan dipenuhi mayat.

Usaha antarabangsa sedang dirancang untuk pemindahan rakyat mereka termasuk AS yang mengerahkan pasukan pengangkutan udara bagi membawa pulang kakitangan kedutaan negara itu.

Menurut kesatuan doktor, pakar perubatan pula memberi amaran mengenai bencana kesihatan, dengan lebih dua pertiga daripada hospital di Khartoum dan negeri jiran tidak beroperasi akibat pertempuran.

Empat hospital di Obeid di negeri Kordofan Utara juga dilaporkan lumpuh akibat serangan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), badan itu mempunyai laporan mengenai hampir 330 orang terbunuh dan 3,200 cedera di seluruh Sudan, tetapi pakar perubatan bimbang jumlah kematian mungkin jauh lebih tinggi, dengan ramai yang cedera tidak sempat tiba ke hospital.

Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) memberi amaran langkah segera diperlukan untuk menghentikan pewarisan perang saudara ini dengan memberi amaran bahawa senario mimpi ngeri yang ditakuti ramai di Sudan kini sedang berlaku.

Menurut ICG, Abdel Fattah dan Mohamed Hamdan dilihat tidak bersedia untuk berundur, sekali gus boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

"Walaupun tentera akhirnya berjaya mendapatkan ibu negara, dan Hemeti berundur ke Darfur, perang saudara mungkin berlaku, dengan kesan yang berpotensi menjejaskan kestabilan di negara jiran Chad, Republik Afrika Tengah, Libya dan Sudan Selatan," katanya. - AFP

Berita berkaitan
Jeneral Sudan siar kenyataan sempena Aidilfitri
Krisis Sudan: Guterres rayu gencatan senjata sempena Aidilfitri


Media Baharu