JAKARTA, 28 Mac- Ketika jutaan penduduk bersiap sedia untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri, Tentera Laut Indonesia (TNI AL) telah mengerahkan sebuah kapal perang bagi membawa penumpang dan motosikal mereka, dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengekang peningkatan kemalangan jalan raya yang berlaku setiap tahun.
KRI Banjarmasin-592 berlepas pada Khamis dengan membawa 1,634 penumpang-termasuk anggota tentera laut, keluarga mereka, serta orang awam-bersama 497 motosikal dalam perjalanan dari Jakarta ke Semarang dan Surabaya.
Inisiatif yang dikendalikan oleh Ketua Staf TNI AL, Laksamana Dr Muhammad Ali itu menyediakan alternatif perjalanan yang lebih selamat dan selesa berbanding perjalanan darat yang panjang serta berisiko yang lazimnya ditempuh oleh rakyat Indonesia setiap musim perayaan.
Menurut kenyataan TNI AL, program itu dilancarkan di limbungan Perintah Ketenteraan Laut, Jakarta Utara, di mana keluarga penumpang berkumpul dan motosikal mereka dimuatkan ke dalam kapal perang itu.
"Sambutan masyarakat amat luar biasa. Tahun ini, semua tempat habis ditempah dalam tempoh hanya dua hari selepas pendaftaran dibuka," kata Muhammad, sambil menekankan permintaan yang semakin meningkat untuk pilihan perjalanan yang lebih selamat.
Untuk perjalanan pulang, kapal perang itu akan membawa 1,264 penumpang dan 328 motosikal, dengan jadual berlepas dari Surabaya pada 6 April, singgah di Semarang, dan tiba di Jakarta pada 7 April.
Sepanjang pelayaran, penumpang akan disajikan dengan makanan, hiburan muzik secara langsung, dan tayangan filem-suatu pengalaman yang jauh berbeza daripada perjalanan darat yang sering kali terperangkap dalam kesesakan trafik semasa musim perayaan.
Selain perkhidmatan kapal perang, TNI AL turut mengerahkan 100 bas untuk membawa anggota serta keluarga mereka, dengan perjalanan bermula dari pangkalan tentera di sekitar Jakarta.
TNI AL menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha meluas kerajaan bagi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar semasa Aidilfitri, ketika Indonesia bersiap sedia menghadapi satu daripada penghijrahan tahunan terbesar di dunia.- BERNAMA