fb fb fb fb fb

Agensi EU seru kurangkan penggunaan racun perosak

(FOTO HIASAN)

COPENHAGEN, 26 April- Agensi alam sekitar EU pada Rabu menggesa negara anggotanya untuk mengurangkan penggunaan racun perosak kerana bimbang penjualan bahan kimia berbahaya itu kekal kukuh walaupun terdapat kesan terhadap kesihatan manusia dan biodiversiti.

"Dari 2011 hingga 2020, jualan racun perosak di EU-27 kekal secara relatif stabil pada kira-kira 350,000 tan setahun," kata EEA dalam laporan baharu, memetik data daripada Eurostat.

Racun perosak digunakan secara meluas dalam sektor pertanian dan perhutanan, di sepanjang jalan raya dan kereta api, dan di kawasan bandar seperti taman awam atau taman permainan

Racun perosak jenis Insektisida imidacloprid dan herbisida metolachlor menunjukkan bilangan penggunaan tertinggi di seluruh Eropah, terutamanya di utara Itali dan timur laut Sepanyol.

Di dalam air bawah tanah, atrazin herbisida menyebabkan kesan buruk paling banyak walaupun ia telah diharamkan sejak 2007.

Pendedahan manusia kepada racun perosak kimia, terutamanya melalui makanan dan udara di kawasan pertanian, dikaitkan dengan perkembangan penyakit jantung, pernafasan dan saraf, serta kanser, kata laporan itu.

"Membimbangkan, semua racun perosak yang dipantau dikesan dalam kepekatan yang lebih tinggi berbahaya pada kanak-kanak berbanding orang dewasa," kata EEA.

Dalam kajian yang dijalankan di Sepanyol, Latvia, Hungary, Republik Czech dan Belanda antara 2014 dan 2021, sekurang-kurangnya dua racun perosak dikesan dalam badan 84% peserta tinjauan.

Pencemaran racun perosak juga mendorong kehilangan biodiversiti,, menyebabkan penurunan ketara dalam populasi serangga dan mengancam pengeluaran makanan.

Kajian Jerman yang dipetik dalam laporan itu mendapati penurunan 76% serangga terbang di zon terlindung dalam tempoh 27 tahun.

Ia mengenal pasti racun perosak sebagai salah satu punca penurunan itu.

Di 11 negara anggota EU, jualan racun perosak menurun antara 2011 dan 2020, dengan kejatuhan terbesar di Republik Czech, Portugal dan Denmark.

Latvia dan Austria menyaksikan kadar peningkatan paling kukuh dari segi jualan, manakala peningkatan paling ketara dalam jumlah dicatatkan di Jerman dan Perancis.

Kedua-dua negara terakhir ini, bersama-sama dengan Sepanyol dan Itali, empat pengeluar pertanian terbesar EU menyumbang jumlah tertinggi yang dijual untuk kebanyakan kumpulan bahan aktif.

Sistem pengeluaran makanan moden bergantung pada jumlah racun perosak kimia yang tinggi untuk memastikan kestabilan dan kuantiti hasil tanaman, dan mengekalkan keselamatan makanan.

Menurut EEA, 83% tanah pertanian yang diuji dalam kajian 2019 mengandungi sisa racun perosak.

Agensi itu menggesa 27 anggota EU untuk mengurangkan pergantungan kepada racun perosak.

Laporan berasingan yang diterbitkan pad Rabu oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) menunjukkan bahawa pada 2021, 96% sampel makanan yang dianalisis berada dalam had undang-undang untuk sisa racun perosak.

Limau gedang yang diimport dari luar EU mempunyai tahap sisa racun perosak tertinggi pada 2021 dan oleh itu kawalan baharu telah diperkenalkan, kata EFSA.-AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu