fb fb fb fb fb

Afrika Selatan sokong Netanyahu dikenakan waran tangkap

Foto AFP

JOHANNESBURG, 21 Mei- Afrika Selatan menyokong syor waran tangkap antarabangsa dikeluarkan terhadap pemimpin Israel dan Hamas.

Presidennya, Cyril Ramaphosa memuji permohonan Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan untuk ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tiga ketua Hamas berhubung konflik jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

"Afrika Selatan mengalu-alukan keputusan itu... mengenai permohonan waran tangkap untuk perdana menteri dan menteri pertahanan Israel serta tiga pemimpin Hamas atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah Statut Rom ICC di dalam konteks konflik semasa di Gaza.

"Afrika Selatan komited kepada kedaulatan undang-undang antarabangsa, penghormatan sejagat terhadap hak asasi manusia dan penyelesaian semua pertikaian antarabangsa melalui rundingan dan bukan peperangan, dan penentuan nasib semua rakyat, termasuk Palestin.

"Undang-undang mesti digunakan sama rata kepada semua untuk menegakkan kedaulatan undang-undang antarabangsa, memastikan akauntabiliti bagi mereka yang melakukan jenayah kejam dan melindungi hak mangsa," katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, satu notis permohonan telah diserahkan kepada panel tiga hakim yang terbabit dalam praperbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Afrika Selatan sebelum ini mengetuai usaha antarabangsa untuk melabelkan serangan Israel ke atas Gaza sebagai pembunuhan beramai-ramai atau genosid.

Afrika Selatan juga telah membuat aduan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague dengan mengadu bahawa kempen Israel di Palestin adalah sama dengan pembunuhan beramai-ramai. - AFP

Artikel Berkaitan:
Colombia gesa ICC keluar waran tangkap buat Netanyahu
Penduduk Gaza nekad bina semula kehidupan meski rumah musnah dibedil Israel

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM