fb fb fb fb fb

Afghanistan kekurangan bekalan perubatan, rayu bantuan segera

(Penduduk Afghanistan di Gayan, kawasan terjejas gempa menunggu untuk menerima bantuan/REUTERS)

KABUL, 25 Jun- Afghanistan mengalami kekurangan bekalan perubatan untuk merawat mereka yang cedera dalam gempa bumi yang mengorbankan lebih 1,000 orang minggu ini.

Gempa susulan pada hari Jumaat telah mengorbankan lima lagi nyawa.

Jurucakap Kementerian Bencana Afghanistan, Mohammad Nassim Haqqani, berkata kira-kira 2,000 orang cedera dan 10,000 buah rumah musnah sebahagian atau keseluruhannya dalam gempa bumi pada Rabu lalu.

“Kementerian Kesihatan tidak mempunyai ubat yang mencukupi”, katanya.

"Kami memerlukan bantuan perubatan dan keperluan lain kerana ia adalah bencana besar".


(Seorang penduduk Afghanistan melihat rumah yang musnah dalam
kejadian gempa bumi di Gayan, Afghanistan/REUTERS)

Komunikasi yang lemah dengan infrastruktur jalan raya yang sangat asas menghalang usaha bantuan untuk tiba di negara yang menghadapi krisis kemanusiaan selepas Taliban mengambil alih pada Ogos lalu.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Afghanistan, Sirajuddin Haqqani merayu bantuan segera antarabangsa.

Beliau memberi jaminan, kesemua bantuan akan diagih secara adil kepada yang memerlukan.

Negara seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu telah bersetuju untuk menghantar bantuan.

Sementara itu, bantuan daripada Pakistan telah masuk ke Kabul.

Terdahulu, pihak berkuasa menamatkan pencarian di pergunungan terpencil tenggara negara itu yang dilanda gempa bumi berukuran 6.1 magnitud pada awal Rabu berhampiran sempadan Pakistan, kira-kira 160 kilometer (km) tenggara ibu negara, Kabul.

"Gempa susulan semalam, di tempat yang hampir sama, berukuran 4.3 pada skala Richter", menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan seramai 1,036 orang disahkan terbunuh dalam insiden tersebut.- REUTERS

Media Baharu