(Adnan Syed, (baju putih) meninggalkan mahkamah di Baltimore/REUTERS)
BALTIMORE, 20 September- Mahkamah di Maryland pada Isnin mengetepikan sabitan membunuh terhadap Adnan Syed yang didakwa melakukan kesalahan itu pada tahun 2000.
Ia selepas pendakwa raya berkata terdapat dua lagi suspek mungkin terbabit dalam pembunuhan bekas teman wanitanya yang tidak pernah didedahkan kepada pihak pembelaan dalam perbicaraan.
Kes itu mendapat perhatian apabila podcast "Serial" menimbulkan keraguan mengenai kesalahannya.
Syed, 42, sentiasa berkata dia tidak bersalah dan tidak membunuh Hae Min Lee, yang berusia 18 tahun ketika mangsa dicekik dan dikebumikan di taman Baltimore pada 1999.
Hakim mahkamah di Baltimore, Melissa Phinn memerintahkan Adnan dibebaskan dari penjara dan dikenakan tahanan rumah dan perbicaraan baharu dijadualkan.
Peguam negara Baltimore memfailkan usul untuk mengenepikan sabitan pada Rabu berikutan siasatan selama setahun dijalankan bersama seorang pembela awam yang mewakili Syed, yang mana beberapa masalah ditemui dengan saksi dan bukti daripada perbicaraan.
Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak menegaskan Syed tidak bersalah tetapi mereka tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap "integriti sabitan," dan keadilan memerlukan Adnan sekurang-kurangnya diberikan perbicaraan baharu.
Mereka berkata Syed harus dibebaskan dari penjara, yang mana dia telah menghabiskan dua dekad ketika pendakwa raya melengkapkan siasatan dan memutuskan sama ada untuk mendapatkan perbicaraan baharu.
Pendakwa raya berkata bahawa mereka telah menemui maklumat baharu mengenai dua suspek alternatif, yang tidak mereka namakan.
(Adnan Syed diserbu media dan penyokong selepas keputusan mahkamah
mengenepikan sabitan membunuh terhadapnya/REUTERS)
Identiti mereka diketahui oleh pendakwa asal tetapi tidak didedahkan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.
Pendakwa raya juga memutuskan saksi utama dan detektif yang menyiasat pembunuhan itu tidak boleh dipercayai. Mereka juga menemui maklumat baharu yang menimbulkan keraguan pada data telefon bimbit yang dipercayai oleh pendakwa dalam perbicaraan untuk meletakkan Syed di tempat kejadian.
Podcast "Serial" yang diterbitkan oleh stesen radio awam Chicago WBEZ, menarik perhatian negara terhadap kes itu pada 2014.
Marilyn Mosby, peguam negara untuk Baltimore, dalam satu kenyataan berkata orang yang bertanggungjawab untuk jenayah kejam ini mesti bertanggungjawab.
Young Lee, abang mangsa, memberitahu mahkamah dia terkejut dan keluarganya berasa dikhianati kerana pihak pendakwa telah mengubah haluan selepas berpegang kepada sabitan selama beberapa dekad.
"Sungguh sukar untuk melalui ini lagi dan lagi dan lagi... ini mimpi ngeri," katanya. - REUTERS