fb fb fb fb fb

Adidas mohon maaf isu rekaan sandal "Oaxaca Slip On"

Karen Gonzalez (tengah) berbual bersama seorang artisan sambil disaksikan Datuk Bandar Villa Hidalgo Yalalag, Erick Ignacio Fabian, selepas syarikat itu mengemukakan permohonan maaf berhubung rekaan kasut “Oaxaca Slip On"/Reuters

OAXACA, 22 Ogos- Syarikat pakaian sukan antarabangsa, Adidas tampil memohon maaf secara terbuka kepada komuniti penduduk asal di selatan Mexico susulan isu rekaan kasut yang dikritik sebagai pencabulan budaya.

Wakil Adidas Mexico hadir di Villa Hidalgo Yalalag, sebuah pekan kecil di negeri Oaxaca pada Khamis bagi menyampaikan permohonan maaf itu secara bersemuka selepas mengeluarkan kenyataan bertulis minggu lalu.

Kontroversi tercetus susulan pengenalan rekaan "Oaxaca Slip On" oleh pereka fesyen kelahiran Mexico-Amerika, Willy Chavarria, yang didakwa menyerupai sandal tradisional masyarakat setempat iaitu huarache.

“Kami faham situasi ini mungkin menimbulkan rasa tidak selesa, justeru kami ingin memohon maaf secara terbuka,” kata Ketua Bahagian Undang-undang dan Pematuhan Adidas Mexico, Karen Gonzalez, ketika berucap di hadapan puluhan penduduk yang berkumpul di sebuah padang sukan terbuka.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzik tradisional serta kehadiran masyarakat yang berpakaian busana etnik.

Menurut Gonzalez, Adidas berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan komuniti Villa Hidalgo Yalalag pada masa depan bagi memastikan warisan budaya mereka dihormati.

Pekan itu kini didiami kurang daripada 2,000 penduduk.

Isu berkenaan mencuri perhatian nasional apabila Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, mengkritik syarikat berkenaan selain mengumumkan rancangan untuk meneroka tindakan undang-undang bagi melindungi komuniti pribumi daripada pencabulan budaya oleh syarikat antarabangsa.

Sebelum ini, Mexico turut menuduh beberapa jenama fesyen global lain mengeksploitasi rekaan tradisional masyarakat asal tanpa kebenaran. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM