NEW YORK, 26 September – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pemimpin dunia melaksanakan pelan damai Israel-Palestin yang diumumkan Perancis pada Isnin.
Abas turut menegaskan penolakan terhadap sebarang peranan Hamas dalam pentadbiran Gaza.
Dalam ucapannya yang disiarkan menerusi video , Abbas menuntut pelucutan senjata Hamas dan menegaskan Gaza tetap sebahagian Palestin yang perlu berada di bawah pentadbiran penuh pihak berkuasa Palestin (PA).
Beliau turut menggesa negara-negara yang masih belum mengiktiraf Palestin supaya berbuat demikian serta mendesak PBB memberi keahlian penuh kepada negaranya.
Abbas, 89, turut mengecam serangan ketenteraan Israel ke atas Gaza, yang disifatkannya sebagai “antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat abad ke-20 dan ke-21”.
Menurut kementerian kesihatan di Gaza, sekurang-kurangnya 65,502 penduduk Palestin terbunuh sejak perang tercetus, hampir separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak.
Dalam masa sama, Abbas menolak tindakan Hamas yang menyerang Israel pada 7 Oktober 2023, serangan yang mengorbankan sekitar 1,200 orang awam dan menyebabkan 251 dijadikan tebusan.
Pelan damai yang dibentangkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bersama Arab Saudi itu mencadangkan pembebasan baki 48 tebusan Hamas serentak dengan penamatan operasi ketenteraan Israel di Gaza.
Gaza kemudiannya akan ditadbir oleh pentadbiran peralihan melibatkan PA (tanpa Hamas), sebelum menuju ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat, merdeka dan tidak bersenjata.
Namun, Amerika Syarikat (AS) dan Israel menolak cadangan berkenaan. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bulan lalu turut membatalkan visa Abbas dan lebih 80 pegawai Palestin lain, dengan alasan mereka cuba mendapatkan pengiktirafan unilateral untuk sebuah negara Palestin.
Walaupun begitu, Abbas mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang baru-baru ini mengiktiraf Palestin termasuk Kanada, Australia, United Kingdom, Portugal, Belgium, Luxembourg, Denmark, Malta dan Monaco.
Beliau menegaskan Palestin bersedia memikul “tanggungjawab penuh” terhadap Gaza selepas pengunduran Israel, dengan sokongan Arab serta antarabangsa, selain menyatukan wilayah itu dengan Tebing Barat yang kini diduduki Israel.
Abbas juga berjanji mengadakan reformasi nasional, termasuk pilihan raya presiden dan parlimen dalam tempoh setahun selepas perang berakhir.
“Kami mahu sebuah negara moden dan demokratik, berasaskan undang-undang, berpegang pada pluralisme, peralihan kuasa secara aman, serta penglibatan wanita dan belia,” katanya.
Pilihan raya umum terakhir Palestin berlangsung pada 2006 dan dimenangi Hamas, yang setahun kemudian mengusir Fatah – parti Abbas – lalu menguasai sepenuhnya Gaza. - REUTERS