GAZA, 16 Mei - 94 rakyat Palestin dilapor terbunuh pada Khamis selepas pesawat pejuang Israel melancarkan serangan udara terhadap rumah kediaman dan khemah pelarian di seluruh Semenanjung Gaza.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal dalam satu kenyataan memaklumkan, sebuah keluarga di bandar Jabalia, utara Gaza, terbunuh sepenuhnya selepas rumah mereka menjadi sasaran serangan rejim Zionis itu.
Dalam pada itu, pasukan perubatan memberitahu, serangan sekitar waktu Subuh di bandar Khan Younis telah mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang, manakala lebih 60 orang yang lain mengalami kecederaan melibatkan wanita dan kanak-kanak.
Dalam serangan yang berterusan sejak malam sebelumnya, pasukan penyelamat turut menemui 30 mayat lagi dari bawah runtuhan rumah-rumah yang dibedil.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan.
Menurut sumber lain, beberapa lagi serangan di Gaza City, Jabalia dan Khan Younis menyaksikan lima mangsa terkorban.
Di bandar Khuzaa, Khan Younis, seorang lagi rakyat Palestin dilaporkan terbunuh manakala beberapa yang lain cedera.
Dalam kejadian berasingan, serangan artileri Israel di bandar Beit Lahia di utara Gaza meragut nyawa tiga orang, menurut pasukan perubatan tempatan.
Agensi berita rasmi Palestin, WAFA, turut melaporkan lima kematian lain di Jabalia selepas sebuah rumah dibedil pesawat pejuang Israel.
Di kawasan kejiranan Tal al-Zaatar, Jabalia, serangan ke atas beberapa rumah turut mencederakan sekurang-kurangnya 18 orang.
Tentera Israel juga dilaporkan mengebom kawasan sekitar Hospital Indonesia dan Hospital Al-Awda di Jabalia, mengakibatkan kerosakan infrastruktur, namun tiada laporan kematian setakat ini.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza, yang menurut sumber kesihatan telah mengorbankan lebih 53,000 nyawa rakyat Palestin — sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.
Susulan itu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga kini berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakan ketenteraannya di wilayah tersebut. - Reuters