fb fb fb fb fb

8 Rakyat Palestin maut dalam serangan Israel di Deir al-Balah

Foto fail AFP

GAZA, 8 Januari- Sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh orang lagi cedera dalam serangan udara terbaharu Israel yang menyasarkan sebuah rumah di barat bandar Deir al-Balah.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, sumber tempatan dan kesihatan memaklumkan mangsa yang terlibat terdiri daripada kanak-kanak dan wanita dan dikejarkan ke Hospital Shuhada Al-Aqsa.

Dron Israel juga melepaskan tembakan rambang di perkarangan Hospital Eropah Gaza, tenggara Khan Yunis, selain menyasarkan bangunan kolej, yang terletak di selatan Khan Yunis.

Dalam pada itu, pesawat tentera Israel terus melakukan serangan udara ke atas kem pelarian Al-Maghazi di tengah Gaza.

Sehingga kini, konflik berterusan antara Palestin dan Israel di Gaza mengakibatkan sekurang-kurangnya 22,835 terkorban, lebih 70 peratus mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, serta lebih 58,000 orang mengalami kecederaan.

Selain itu, 7,000 orang hilang di bawah runtuhan bangunan.

ROSLINA BINTI DIN