fb fb fb fb fb

66,000 askar Rusia terbunuh sepanjang perang di Ukraine- Media

Foto Hiasan/ REUTERS

WARSAW, 1 September- Saluran media bebas Rusia, Mediazona dan BBC menganggarkan lebih 66,000 anggota tentera Rusia terkorban dalam peperangan di Ukraine.

Mediazona dan BBC bersama-sama sukarelawan telah mengira kematian sejak Februari 2022, menggunakan maklumat sumber terbuka daripada laporan rasmi dan media, serta menggunakan imej satelit tanah perkuburan Rusia untuk menganggarkan jumlah kubur baharu.

Pada April lalu, mereka mengumumkan sudah menemui lebih 50,000 nama rakyat Rusia yang terbunuh.

Mediazona berkata, pihaknya mengetahui nama 66,471 askar Rusia yang terkorban dalam peperangan sehingga 30 Ogos lalu.

Senarai itu dikatakan meningkat lebih daripada 4,600 dalam tempoh empat minggu lalu, katanya, sambil menegaskan ia bukan angka yang sahih kerana banyak kematian askar tidak didedahkan kepada umum.

Wartawan Mediazona, Anastasia Alekseyeva, menegaskan, bahawa angka kematian terkini tidak dikaitkan dengan serangan Ukraine di wilayah Kursk atau kemaraan Rusia di timur.

Laporan itu mendapati bahawa 172 orang yang wajib menjalani khidmat negara terbunuh dalam peperangan.

Menurut pecahan Mediazona, wilayah dengan jumlah kematian mutlak terbesar - 2,578 - adalah republik selatan Bashkortostan, yang mempunyai penduduk Muslim yang besar.

Kumpulan umur paling banyak diwakili secara keseluruhan ialah 33-35 tahun (6,877 kematian).

Lebih 12,000 daripada yang maut adalah banduan, selepas Rusia berusaha untuk merekrut banduan dengan menjanjikan mereka kebebasan selepas tempoh tertentu di barisan hadapan.

Bagaimanapun jumlah itu susut baru-baru ini.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, hampir 700,0000 askar Rusia bertempur di Ukraine.

Moscow jarang bercakap tentang kerugian yang dialaminya dalam 'operasi ketenteraan khas'.

Pada September 2022, Kementerian Pertahanan berkata 5,937 askar terbunuh dalam pertempuran.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, seramai 31,000 askar Ukraine terbunuh dalam dua tahun pertama perang. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI