fb fb fb fb fb

Kempen vaksinasi polio mula dilaksanakan di Gaza

Seorang jururawat memberikan titisan vaksin polio kepada seorang bayi Palestin di hospital Nasser di Khan Yunis/ AFP

GAZA, 1 September- Kempen vaksinasi polio mula dilaksanakan di Gaza pada Sabtu, kata seorang pegawai kesihatan.

Usaha tersebut dijalankan selepas wilayah yang sedang berdepan perang itu mencatat kes polio pertama dalam tempoh 25 tahun.

Pengarah penjagaan kesihatan utama Kementerian Kesihatan Gaza, Moussa Abed, mengesahkan pegawai kesihatan tempatan, PBB dan sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) "sedang memulakan kempen vaksinasi polio di kawasan tengah".

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lalu menyatakan bahawa Israel bersetuju mengadakan 'jeda perang' atas tujuan kemanusiaan selama tiga hari di Gaza bagi memudahkan proses vaksinasi.

Para pegawai sebelum ini menyatakan kempen dijangka bermula hari ini.

Selepas mula menjalankan kempen di kawasan tengah Gaza, vaksin dijangka diberikan kepada kanak-kanak di selatan, dan kemudian di utara Gaza.

Kementerian Kesihatan mengenal pasti 67 pusat vaksinasi - kebanyakannya hospital, pusat kesihatan yang lebih kecil dan sekolah - di tengah Gaza, 59 di selatan Gaza dan 33 di utara Gaza.

Kempen tersebut bertujuan menyediakan perlindungan kepada lebih 640,000 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun, di mana setiap kanak-kanak akan menerima dua dos.

Timbalan Pengarah Agung WHO, Michael Ryan memberitahu Majlis Keselamatan PBB pada minggu ini bahawa sebanyak 1.26 juta dos vaksin sudah dihantar ke Gaza.

Lagi 400,000 vaksin titis dalam mulut itu dijangka dihantar ke wilayah tersebut.

Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah menyatakan pada bulan ini bahawa seorang bayi 10 bulan dari kawasan tengah Gaza disahkan mengalami polio ketika menjalani ujian di Jordan.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI