fb fb fb fb fb

65,000 cawan kopi hilang dari kilang Tesla di Jerman

Foto Hiasan

BERLIN, 11 Julai - Pengeluar kereta elektrik Amerika Syarikat, Tesla kini berhadapan dengan isu dalaman melibatkan puluhan ribu cawan kopi yang hilang di kilangnya di Grünheide.

Memetik laporan Agensi Berita Jerman (dpa), pengurus kilang, André Thierig membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat kakitangan pada Isnin sambil menyatakan bahawa sejumlah 65,000 cawan kopi tidak dapat dikesan.

Beliau secara berseloroh berkata, "Secara statistik, setiap daripada anda mungkin sudah memiliki lima cawan kopi Ikea di rumah," menurut rakaman mesyuarat kakitangan yang dipetik akhbar perniagaan Handelsblatt pada Rabu.

Thierig menjelaskan bahawa kenyataannya mengenai cawan yang hilang itu bukanlah bertujuan untuk menuduh sesiapa.

Beliau turut membangkitkan isu-isu lain dalam mesyuarat itu, termasuk pembukaan gimnasium baharu untuk kira-kira 12,000 pekerja.

Disebabkan kehilangan peralatan itu, cawan kopi berkenaan tidak lagi disediakan pihak syarikat dan Tesla kini memperkenalkan cawan boleh kitar semula.

Tesla membuka satu-satunya kilang kereta elektriknya di Eropah di Grünheide, berhampiran Berlin, lebih dua tahun lalu. Pengeluaran dijangka terus berkembang dan prosedur kelulusan telah dimulakan di negeri Brandenburg.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN