fb fb fb fb fb

62 pesawat tentera China dikesan berhampiran Taiwan

FOTO REUTERS

TAIPEI, 12 Februari - Taiwan pada Rabu melaporkan bahawa 62 pesawat tentera China dikesan berhampiran pulau itu dalam minggu ini, ketika dua kapal Amerika Syarikat (AS) berlayar melalui Selat Taiwan.

AS dan sekutunya kerap melalui Selat Taiwan yang sepanjang 180 kilometer (112 batu) bagi menegaskan statusnya sebagai laluan perairan antarabangsa, tindakan yang sering mencetuskan kemarahan Beijing.

China tidak pernah memerintah Taiwan tetapi menuntut pulau demokrasi itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk mengambilnya semula dengan kekerasan jika perlu.

Menurut pihak berkuasa Taipei, kapal AS berlayar dari utara ke selatan bermula 10 Februari lalu.

Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata bahawa, mereka telah memantau pergerakan kapal perang dan kapal kajian laut AS tersebut.

"Tindakan AS ini menghantar isyarat yang salah dan meningkatkan risiko keselamatan," kata Kolonel Kanan Li Xi, jurucakap bagi Komando Teater Timur China.

Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan menunjukkan bahawa sebanyak 62 pesawat tentera China dikesan berhampiran pulau itu dalam tempoh 48 jam hingga pukul 6.00 pagi waktu tempatan pada Rabu, bertepatan dengan laluan kapal AS.

"Kami telah memantau situasi ini dan memberikan respons yang sewajarnya," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Taiwan merupakan titik panas yang berpotensi mencetuskan konflik antara China dan AS, dengan Washington merupakan penyokong utama serta pembekal senjata terbesar kepada pulau itu.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing telah meningkatkan tekanan politik dan ketenteraan ke atas Taipei bagi memaksa ia menerima tuntutan kedaulatan China.

Tentera China juga telah mengadakan beberapa siri latihan ketenteraan berskala besar sejak Presiden Taiwan, Lai Ching-te, mengambil alih jawatan pada Mei lalu. - AFP

TETITIA YUSOFF