fb fb fb fb fb

54 kebakaran hutan direkod di Sumatera Selatan

54 kebakaran hutan direkod di Sumatera Selatan sepanjang bulan ini. - Foto AFP

PALEMBANG, 27 Julai – Sebanyak 54 kejadian kebakaran hutan dan tanah direkodkan di wilayah Sumatera Selatan bulan ini dengan lebih 43 hektar kawasan terjejas.

Balai Pengendalian Kebakaran Hutan, Kementerian Kehutanan Indonesia meramalkan, jumlah tersebut dijangka meningkat berdasarkan situasi semasa bencana.

Ketua Pelaksana Badan Pengurusan Bencana Daerah Sumatera Selatan, M. Iqbal Alisyahbana, mengingatkan penduduk agar tidak melakukan pembakaran terbuka, terutama dalam keadaan cuaca kering ketika musim kemarau yang sedang melanda.

Katanya, berdasarkan rekod, sepanjang 1 hingga 24 Julai lalu, jumlah titik panas meningkat mendadak kepada 1,104 iaitu tertinggi dalam tempoh sedekad sejak 2015.

“Secara keseluruhan, sebanyak 2,630 titik panas direkodkan sejak Januari hingga 24 Julai tahun ini,” katanya.

Butiran bulanan menunjukkan peningkatan jumlah titik panas secara berterusan iaitu daripada 45 pada Januari meningkat kepada 1,104, bulan ini.

Sehubungan itu, masyarakat setempat disaran meningkatkan tahap kewaspadaan serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi mencetuskan kebakaran.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN