LEH, 25 September – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan lebih 30 anggota polis cedera ketika protes besar-besaran di Leh, Ladakh sebuah wilayah kontroversi di Himalaya.
Kejadian bermula apabila penunjuk perasaan dikatakan menyerang polis, membakar kenderaan dan pejabat parti pemerintah, BJP, sehingga memaksa polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.
Demonstrasi dipercayai bertujuan bagi menuntut lebih banyak autonomi untuk wilayah tersebut serta menyokong aktivis Sonam Wangchuk yang menuntut status negeri penuh atau perlindungan perlembagaan untuk komuniti dan alam sekitar Ladakh.
Ladakh, yang dipisahkan daripada Jammu dan Kashmir pada 2019, ditadbir secara langsung oleh kerajaan pusat tanpa kuasa autonomi penuh.
Penduduk tempatan berasa dikhianati kerana janji kerajaan untuk memberi status khas di bawah Jadual Keenam Perlembagaan India masih belum dilaksanakan seterusnya memicu kemarahan.
Wilayah itu turut menjadi kawasan rebutan kerana bersempadan dengan China dan Pakistan.
Bandar Leh kini berada dalam kawalan ketat, dengan jalan utama ditutup dan polis berkawal dalam kelengkapan anti rusuhan.