fb fb fb fb fb

47 cedera dalam kemalangan bas di lebuh raya Tokyo

Sebahagian daripada bas pelancong yang terlibat dalam kemalangan dirakam dari helikopter Kyodo News/Foto BERNAMA

TOKYO, 6 April - Seramai 47 orang cedera, kebanyakannya pelancong asing selepas dua buah bas persiaran terlibat dalam kemalangan di lebuh raya barat Tokyo pada Sabtu.

Menurut pihak polis, kejadian berlaku apabila sebuah bas melanggar belakang sebuah lagi bas semasa kedua-duanya bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 10:15 pagi waktu tempatan berhampiran Terowong Kobotoke di Lebuh Raya Chuo, Hachioji.

Kedua-dua bas yang dikendalikan oleh syarikat sama itu dalam perjalanan dari Stesen JR Tokyo menuju ke Tasik Kawaguchi di Wilayah Yamanashi.

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada mangsa mengalami kecederaan parah atau mengancam nyawa.

Akibat kemalangan itu, laluan keluar dari lebuh raya antara Hachioji Junction dan Sagamiko Interchange terpaksa ditutup sementara oleh pengendali lebuh raya, Central Nippon Expressway Co. - BERNAMA-KYODO

GRACE AISYAH KEDAYAN