fb fb fb fb fb

44 lagi terbunuh di Gaza

Foto WAFA

GAZA, 21 September- Sekurang-kurangnya 44 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita terbunuh serta puluhan lagi mengalami kecederaan dalam pengeboman Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Gaza, sejak semalam.

Memetik laporan agensi berita Palestin (WAFA), petugas perubatan melaporkan bahawa 44 orang terbunuh dalam serangan udara Israel.

"Dua warga Palestin terbunuh dalam dua serangan di wilayah utara Gaza. Serangan pertama menyasarkan rumah milik keluarga Abu Rabie di Beit Lahia.

"Manakala serangan kedua pula membabitkan sebuah kenderaan yang dibedil di bandar Beit Hanoun. Ia menyebabkan beberapa lagi mengalami kecederaan," lapor WAFA.

Di Bandar Gaza, 18 orang awam terbunuh dalam enam serangan berasingan.

Serangan pertama itu yang menyasarkan rumah keluarga Sheikh di kejiranan Daraj telah menyebabkan enam terbunuh.

Sementara itu, enam lagi terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak dan dua wanita, dalam serangan ke atas rumah milik keluarga Abu al-Hatal di tengah bandar.

"Seorang penduduk turut terbunuh akibat pengeboman Israel ke atas sekumpulan penduduk di Jalan al-Shaaf. Seorang lagi terbunuh apabila rumah keluarga al-Zard dibom manakala seorang terbunuh dalam serangan berhampiran Sekolah al-Hurriya di kejiranan al-Zeitoun," lapor WAFA.

Di sekitar persimpangan Al-Abbas, tiga orang terbunuh apabila Israel membedil sebuah bas yang membawa pelarian.

Sementara di wilayah tengah, 10 orang awam terbunuh dalam dua serangan Israel manakala 14 yang lain terbunuh dalam dua serangan Israel di bandar Rafah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM