fb fb fb fb fb

41 terbunuh di Gaza ketika Israel serang kawasan agihan bantuan

Foto AFP

GAZA CITY, 30 September- Pasukan pertahanan awam Gaza dan hospital tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 41 penduduk terbunuh pada Selasa, termasuk 17 orang yang ditembak berhampiran pusat agihan bantuan di Jambatan Wadi Gaza.

Hospital Al-Awda mengesahkan menerima 17 mayat serta merawat 33 mangsa cedera dalam insiden itu.

Ribuan penduduk Palestin dilapor berkumpul setiap hari di pusat agihan makanan termasuk yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation.

Selain itu, 15 lagi maut dalam beberapa serangan di Bandar Gaza manakala sembilan terbunuh di lokasi lain.

Sekatan bantuan kemanusiaan sejak perang bermula hampir dua tahun lalu menyebabkan Gaza berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bahan api yang kritikal bagi operasi hospital.

Insiden terbaharu ini berlaku ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan sokongan terhadap pelan damai 20 perkara yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menamatkan perang.

Trump turut memberi tempoh tiga hingga empat hari kepada Hamas untuk menyatakan pendirian terhadap cadangan tersebut, sambil memberi amaran “kesudahan yang menyedihkan” jika ia ditolak. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM