fb fb fb fb fb

4 maut dalam kejadian gempa bumi di Papua New Guinea

SYDNEY, 12 September - Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan beberapa lagi cedera parah dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 magnitud yang melanda Papua New Guinea pada pagi Ahad, kata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan cawangan serantau di Asia-Pasifik memetik
laporan situasi daripada Pasukan Negara PBB di Papua New Guinea pada Ahad.

Antara yang maut, seorang daripada daerah Rai Coast di wilayah Madang, dan tiga di bandar Wau di wilayah Morobe.

Kesemuanya tertimbus dalam tanah runtuh.

Beberapa penduduk di Morobe cedera akibat struktur atau serpihan yang jatuh, dan dilaporkan terdapat kerosakan di pusat kesihatan, rumah, jalan luar bandar dan lebuh raya.

Bagaimanapun lapangan terbang komersial serantau masih boleh beroperasi.

Sebahagian daripada Lebuhraya Highlands, yang menghubungkan bandar kedua terbesar Lae ke wilayah Highlands, telah rosak, manakala kawasan di sepanjang Markham dan Ramu di Eastern Highlands terjejas.

(FOTO AFP)

Akhbar tempatan Post-Courier melaporkan pada Isnin, banyak kedai di Lae masih ditutup kerana stoknya mengalami kerosakan.

Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape, dalam sidang akhbar pada petang Ahad, berkata agensi bencana nasional dan wilayah telah mula menilai kerosakan membabitkan bangunan dan infrastruktur seperti jalan raya serta bekalan kuasa.

Marape berkata anggaran kos kerosakan akan diketahui esok dan beliau memberi jaminan bantuan akan diberikan bagi memulihkan perkhidmatan dan mata pencarian rakyat nya.

Papua New Guinea secara geologinya, merupakan salah satu kawasan paling aktif dan seismik di dunia dan biasanya dilanda lebih daripada 100 gempa bumi bermagnitud 5 atau lebih besar setiap tahun. - AFP

Media Baharu