fb fb fb fb fb

4 entiti, 9 individu dari Korea Utara dikenakan sekatan oleh Jepun

(Gambar dikeluarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada 25 Mac 2022
mendakwa peluru berpandu ICBM jenis baharu/AFP)

TOKYO, 1 April- Kerajaan Jepun hari ini meluluskan sekatan baharu terhadapa Korea Utara susulan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baru-baru ini, selaras gesaan Washington untuk mengenakan hukuman lebih tegas terhadap negara yang bercita-cita besar dalam membangunkan senjata nuklear.

Sebelum ini, Tokyo telah mengharamkan urusan perdagangan dan kemasukan kapal sebagai sebahagian daripada sekatan unilateral terhadap Pyongyang.

Namun hari ini, kerajaan menyatakan telah “menetapkan empat kumpulan dan sembilan individu yang disyaki terlibat dalam pembangunan program senjata nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.”

“Ke semua aset milik entiti dan individu itu akan dibekukan” jelas jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno kepada wartawan.

Langkah itu dilakukan selepas Washington menggesa supaya satu resolusi untuk memperketatkan sekatan terhadap Pyongyang dikemas kini pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, minggu lalu susulan pelancaran ICBM pertama dan dikatakan paling berkuasa sejak 2017.

 
(Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berjalan dihadapan peluru berpandu
ICBM jenis baharu pada 24 Mac 2022/AFP)

Korea Utara menyifatkan pelancaran peluru berpandu terbaharu Hwasong-17 itu amat berjaya dan penganalisis menyatakan senjata jarak jauh itu berupaya membawa beberapa kepala peledak dan pernah diperkenalkan semasa perarakan tentera pada 2020.

Namun menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan kepada AFP, Seoul dan Washington menyimpulkan bahawa senjata terbaharu yang dilancarkan itu sebenarnya Hwasong-15, jenis ICBM yang Pyongyang pernah lancarkan pada 2017.

Bagaimanapun pakar menyatakan pelancaran terbaharu itu ada menunjukkan kemajuan (pembangunan) ketara.

Pelancaran senjata terbaharu itu telah mencemaskan Jepun, apabila peluru berpandu itu jatuh dalam zon ekonomi eksklusifnya. –AFP

Media Baharu