NEW DELHI, 1 April- Jawatankuasa Keselamatan Negara (NSC) Pakistan mengecam campur tangan asing dalam hal ehwal negara itu selepas Perdana Menteri Imran Khan mendedahkan mengenai satu negara yang tidak dinyatakan namanya menghantar mesej berbaur ugutan terhadap kerajaannya.
Imran mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu semalam, turut terlibat ialah pegawai tertinggi tentera dan menteri utama yang membincangkan perkara itu secara terperinci.
"Jawatankuasa itu memutuskan bahawa Pakistan akan mengambil tindakan yang tegas terhadap negara berkenaan di Islamabad dan di ibu negara melalui saluran yang betul mengikut norma diplomatik," kata Pejabat Perdana Menteri Pakistan.
Menurut kenyataan itu, Penasihat Keselamatan Negara Moeed Yusuf semasa memberi taklimat kepada jawatankuasa mengenai mesej ugutan yang diterima ketika "komunikasi rasmi seorang pegawai kanan negara asing dengan duta Pakistan di negara itu dalam satu mesyuarat rasmi."
NSC "merumuskan bahawa komunikasi itu adalah campur tangan terang-terangan dalam hal ehwal dalaman Pakistan oleh negara berkenaan."
Baik Imran mahupun kerajaan Pakistan tidak mendedahkan nama negara yang terbabit, namun media merujuknya kepada Amerika Syarikat, sebuah negara yang mempunyai hubungan tidak menentu dengan Pakistan.
Anehnya, Imran semasa berucap di televisyen kepada negara pada petang semalam kelihatan terlepas cakap dengan mengatakan mesej itu dari "Amerika".
Beliau segera membetulkannya dengan senyuman, berkata "bukan Amerika... maksud saya beberapa negara."
Kerajaan pemimpin parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan berusia 69 tahun itu akan menghadapi usul undi tidak percaya di Parlimen pada Ahad, telah menyalahkan kempen pembangkang terhadapnya sebagai konspirasi yang didorong oleh pihak asing.
"Terdapat prasyarat ditetapkan oleh sebuah negara yang berkuasa, yang dimaklumkan dengan jelas mengenai undi tidak percaya, bahawa jika saya kekal memegang jawatan akan ada akibatnya, dan jika saya disingkirkan, maka semuanya akan dimaafkan," kata Imran.
(Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan)
"Saya tidak akan membiarkan konspirasi ini berjaya dalam apa jua keadaan," kata perdana menteri dalam ucapannya.
Beliau menolak gesaan pembangkang supaya meletakkan jawatan, berikrar untuk berjuang "sehingga ke akhir."
Imran dalam kenyataan umumnya baru-baru ini berkata negara-negara Barat mahu memaksa Pakistan untuk menyelaraskan dasar-dasarnya dengan mereka dalam isu-isu besar, termasuk perang Rusia-Ukraine.
Perdana Menteri Pakistan itu berada di Moscow dalam lawatan rasmi ketika Rusia memulakan tindakan ketenteraannya di Ukraine pada Februari.
Selepas kepulangannya, Imran mengumumkan Pakistan akan mengimport gandum dan gas asli dari Rusia.
Kedua-dua Pakistan dan Rusia juga bekerjasama dengan China dan negara jiran lain untuk menstabilkan keadaan di Afghanistan sejak pengunduran tentera AS tahun lalu.
Semasa ucapan di televisyen semalam, Imran berkata lawatannya ke Moscow bukanlah keputusan peribadi tetapi mendapat sokongan Pejabat Luar dan kepimpinan tentera Pakistan.