KAHERAH, 21 Julai- Sekurang-kurangnya 39 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu tentera Israel di seluruh Gaza.
Serangan dilancar ketika kereta kebal rejim Zionis menceroboh lebih jauh ke Rafah barat dan utara.
Menurut pihak berkuasa kesihatan, antara yang terbunuh ialah wartawan tempatan Mohammad Abu Jasser, isterinya dan dua anak mereka.
Pejabat media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata kematian Abu Jasser menyaksikan jumlah kakitangan media Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel meningkat kepada 161 orang, sejak 7 Oktober.
Sementara itu, di Kem Al-Nuseirat di tengah Gaza, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah meragut tiga nyawa dan mencederakan lapan yang lain.
Manakala, serangan udara ke atas sebuah bangunan bertingkat di kawasan sama turut mencederakan beberapa orang awam, termasuk dua wartawan tempatan.
Sementara itu, tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan di Rafah, menyasarkan pejuang Hamas dan menghapuskan ramai lelaki bersenjata di kawasan Tel Al-Sultan di sebelah barat bandar itu. Tentera zionis turut melakukan serbuan ke atas infrastruktur Hamas.
Di Deir Al-Balah di tengah Gaza, tentera Israel turut merempuh bangunan yang didakwa digunakan oleh pejuang Palestin untuk tujuan ketenteraan.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 38,919 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.-REUTERS