JERUSALEM, 21 Julai– Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 87 orang cedera, selepas jet pejuang Israel menyerang sasaran tentera Huthi berhampiran Pelabuhan Hodeidah Yaman pada Sabtu.
Insiden serangan berlaku sehari selepas dron yang dilancarkan oleh kumpulan yang disokong Iran itu mengenai hab ekonomi Israel Tel Aviv.
Kementerian Kesihatan berkata kebanyakan mangsa yang cedera melecur teruk.
Serangan udara itu menyasarkan kemudahan minyak dan stesen janakuasa, menurut Al-Masirah TV, saluran berita televisyen utama yang dikendalikan oleh kumpulan Houthi di Yaman.
Penduduk Hodeidah memberitahu Reuters melalui telefon bahawa letupan kedengaran di seluruh bandar semasa pengeboman tersebut.
Al-Masirah TV melaporkan pasukan pertahanan awam dan bomba cuba memadamkan kebakaran di tangki minyak pelabuhan.
Jurucakap tentera Israel berkata, pelabuhan itu telah digunakan oleh Huthi untuk menerima penghantaran senjata dari Iran.
Sementara itu, Majlis Politik Tertinggi Huthi berkata, pihaknya akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Jurucakap Tentera Huthi Yahya Saree berkata Huthi tidak akan teragak-agak untuk menyerang sasaran penting Israel.
Jumaat lalu, sebuah dron buatan Iran jarak jauh yang dilancarkan dari Yaman mengenai pusat Tel Aviv dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh Houthi serta membunuh seorang lelaki dan mencederakan empat yang lain.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar Iran, Nasser Kanaani, mengutuk serangan Israel dan memberi amaran terhadap risiko peningkatan ketegangan dan peperangan di rantau itu akibat tindakan berbahaya Zionis, lapor media negara Iran.
Dalam satu kenyataan, Hizbullah turut mengutuk serangan ke atas Hodeidah, menyifatkan ia sebagai langkah kurang bijak yang menandakan fasa baharu dan berbahaya bagi konfrontasi berterusan yang amat penting.-REUTERS