(FOTO REUTERS)
VIENNA, 11 Ogos- Sekurang-kurangnya 385 kanak-kanak Ukraine yang dipindahkan ke Rusia telah dihantar pulang ke tanah air, ini disahkan sebuah badan kebajikan antarabangsa berpangkalan di Austria yang terlibat dalam beberapa misi penghantaran pulang kanak-kanak berkenaan.
Menurut Kiev, lebih 19,000 kanak-kanak Ukraine telah dipindahkan ke Rusia sejak pencerobohan Februari 2022, dengan kebanyakannya didakwa ditempatkan di institusi dan rumah angkat.
Rusia menafikan dakwaan itu.
"SOS Children's Villages menyokong ibu bapa, dengan menyediakan sumber kewangan atau dengan membantu mereka merancang laluan," kata jurucakap badan amal Anna Radl kepada AFP pada Jumaat.
"Seramai 385 kanak-kanak yang dipindahkan telah dikembalikan ke Ukraine setakat ini, 84 daripadanya oleh SOS Children's Villages dan organisasi rakan kongsinya," kata NGO itu dalam satu kenyataan akhbar pada Khamis.
Jumlah itu berdasarkan statistik rasmi kerajaan Ukraine, kata Radl.
"Selalunya anak-anak itu sendiri, yang mendapatkan bantuan contohnya melalui rangkaian sosial, dalam kes lain keluarga (mereka), kadang-kadang penduduk dari wilayah yang diduduki memberi petunjuk," tambahnya.
SOS Children's Villages adalah salah satu daripada tiga badan kebajikan yang aktif dalam penghantaran pulang kanak-kanak Ukraine ke tanah air.
Ia juga melatih pekerja sosial dan ahli psikologi untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka selepas mereka kembali.
Pada bulan Mac, Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague mengumumkan waran tangkap untuk Presiden Rusia Vladimir Putin atas tuduhan jenayah perang memindahkan kanak-kanak Ukraine secara tidak sah. -AFP
(385 kanak-kanak Ukraine dibawa pulang dari Rusia/REUTERS)