fb fb fb fb fb

37 penduduk Palestin terkorban, serangan terbaharu Israel

Foto REUTERS

KAHERAH, 11 November- Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam serangan tentera Israel di sebuah kafe berhampiran Khan Younis, selatan Gaza.

Menurut pasukan perubatan, insiden serangan terbaharu itu menjadikan jumlah kematian sekurang-kurangnya 37 orang, sejak Ahad lalu.

Kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah kem Nuseirat, menyebabkan keadaan panik dalam kalangan penduduk Gaza.

Menurut seorang penduduk, Zaik Mohammad, serangan kereta kebal itu mengejutkan penduduk.

"Sesetengah orang tidak dapat keluar dan terperangkap di dalam rumah mereka, merayu untuk dibenarkan keluar, manakala yang lain tergesa-gesa keluar dengan apa sahaja yang dapat dibawa ketika mereka melarikan diri," kata Mohammad, 25, yang tinggal satu kilometer dari kawasan sasaran, kepada Reuters.

Ketika perang di Gaza berlarutan sehingga kini, Israel meneruskan operasinya di utara dan ia menyasarkan untuk menghapuskan pejuang Hamas.

Puluhan ribu penduduk Palestin telah diarahkan untuk mengosongkan kawasan tersebut, membangkitkan kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak akan dibenarkan kembali.

Harapan untuk gencatan senjata semakin tipis, selepas pengantara Qatar berkata, pihaknya menangguhkan usaha tersebut sehingga kedua-dua Israel dan Hamas menunjukkan kesediaan yang lebih besar untuk mencapai persetujuan.

Pegawai kesihatan di Hospital Al-Awda di Nuseirat berkata, 20 orang terbunuh dalam siri serangan semalaman tentera Israel.

Di Hospital Kamal Adwan berhampiran Beit Lahiya, petugas perubatan berkata tembakan dari dron Israel mencederakan tiga pekerja perubatan di hospital tersebut.

Israel bertindak mengepung tiga hospital di sekitar Jabalia di utara Gaza selama beberapa minggu, dan pegawai hospital menolak arahan untuk mengosongkan fasiliti tersebut atau meninggalkan pesakit mereka tanpa pengawasan meskipun kekurangan makanan, bekalan perubatan dan bahan api.

Tentera Israel menuduh Hamas mengeksploitasi penduduk awam Gaza untuk tujuan ketenteraan. Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan oleh kumpulan pejuang itu.

Sehingga kini, operasi ketenteraan Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan membunuh lebih 43,000 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Gaza. -REUTERS

ROSLINA BINTI DIN