fb fb fb fb fb

37 orang maut, bangunan runtuh di Cameroon

(Foto AFP)

YAOUNDE, 25 Julai- Angka korban akibat runtuhan bangunan di hub perniagaan Cameroon, Douala, meningkat kepada 37 orang.

21 orang lagi cedera dengan lima daripadanya parah.

Bangunan pangsapuri empat tingkat itu, runtuh ke bangunan kediaman lain di utara bandar berkenaan pada Sabtu; antara tragedi paling buruk dalam sejarah negara tersebut.

Menteri Pembangunan Bandar, Celestine Ketcha-Courtes yang melawat lokasi kejadian pada Isnin berkata pembinaan bangunan itu tidak mendapat kebenaran.

Angka korban dijangka meningkat dan pasukan keselamatan masih bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hilang.

Sementara itu, Hospital Laquintinie di Douala pada Ahad memberitahu telah mengambil 13 pesakit, dua daripadanya seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan seorang wanita berusia 19 tahun meninggal dunia.

(Pasukan keselamatan bertungkus lumus mencari mangsa yang masih hilang/Foto AFP)

Saintis komputer, Prosper Tchinda, salah seorang yang pertama tiba di tempat kejadian berkata jumlah korban masih boleh meningkat.

"Ada seorang mangsa terselamat keluar dengan hanya calar dan kami menemukan bayi yang sihat," katanya kepada AFP melalui panggilan telefon.

Lelaki berusia 42 tahun itu tinggal beberapa minit berjalan kaki dari blok bangunan yang runtuh dan berkata "seperti terdapat acara dengan muzik apabila kejadian berlaku".

Nathalie, yang juga tinggal di kawasan tersebut tetapi tidak mahu memberikan nama penuhnya, memberitahu bangunan tersebut "gagal" dan berada dalam keadaan yang teruk.

"Terdapat keretakan pada dinding dan kami merasakan ia boleh runtuh pada bila-bila masa," katanya.-AFP

Media Baharu