fb fb fb fb fb

37 maut dalam serangan Israel di seluruh Gaza

Foto AFP

ANKARA, 10 Jun- Serangan Israel di seluruh Gaza sejak awal Selasa mengorbankan 37 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 200 yang lain, termasuk 19 mangsa yang maut berhampiran pusat agihan bantuan disokong Israel, menurut petugas perubatan.

Sumber perubatan memaklumkan kepada Anadolu Ajansi bahawa 19 rakyat Palestin maut dan lebih 200 cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang beratur untuk menerima bantuan berhampiran kawasan Koridor Netzarim, selatan Bandaraya Gaza.

Saksi berkata dron quadcopter Israel turut melepaskan tembakan ke arah kumpulan penerima bantuan berdekatan lokasi berkenaan.

Sumber perubatan lain berkata 12 lagi orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Bandar Jabalia di utara Gaza.

Tiga ahli keluarga maut apabila sebuah khemah pelarian di Khan Yunis, selatan Gaza, dibom tentera Israel, manakala serangan lain menyasarkan kediaman dan kemudahan Bulan Sabit Merah di Deir al-Balah, tengah Gaza, mengorbankan tiga lagi individu.

Serangan itu berlaku ketika dron Israel menggugurkan bom asap di kawasan timur Bandaraya Gaza, menurut agensi berita rasmi WAFA.

Tentera Israel terus melancarkan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober 2023, walaupun mendapat desakan antarabangsa supaya menghentikan perang, mengakibatkan hampir 55,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pada November lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan perbicaraan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu.- BERNAMA-ANADOLU

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM