fb fb fb fb fb

36 maut dalam kemalangan bas di Himalaya

FOTO AFP

DEHRADUN, 4 November - Sekurang-kurangnya 36 orang maut selepas sebuah bas terjunam ke dalam gaung di Himalaya.

Beberapa lagi penumpang dilaporkan cedera, menurut seorang pegawai kerajaan pada Isnin.

Pasukan penyelamat mengeluarkan beberapa keping gambar menunjukkan bas yang remuk di bawah semak tebal.

Kemalangan jalan raya merupakan situasi biasa di sepanjang jalan pergunungan di wilayah Himalaya, disebabkan penyelenggaraan jalan yang lemah dan pemanduan berbahaya di kawasan yang berliku.

"Setakat ini, 36 kematian telah disahkan," kata seorang pegawai kanan dari negeri utara Uttarakhand, Deepak Rawat.

"Tiga orang yang cedera parah telah dihantar ke hospital menggunakan helikopter."

Penduduk dan sukarelawan membantu dengan menuruni lereng curam dan menyeberangi sungai yang deras untuk mengeluarkan mangsa yang cedera dan mayat dari bas itu.

Perdana Menteri Narendra Modi mengucapkan takziah atas insiden itu.

Pejabat Modi dalam satu kenyataan berkata, bahawa keluarga mangsa yang terkorban akan menerima wang bantuan sebanyak 200,000 rupee ($2,380), manakala mereka yang cedera akan mendapat 50,000 rupee ($595).

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata beliau telah mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung kemalangan itu, yang berlaku di kawasan bukit dan hutan berhampiran bandar Almora.

Ratusan orang maut dalam kemalangan jalan raya di India setiap tahun.- AFP

TETITIA YUSOFF