ISTANBUL, 3 Januari- Pihak berkuasa Turkiye menahan seramai 34 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan ejen perisikan Mossad di sekitar negara itu, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya berkata, organisasi Israel tersebut dipercayai menyasarkan rakyat Palestin yang menetap di Turkiye.
Mossad juga dikesan cuba merekrut anggotanya di negara itu.
Kesemua suspek ditahan di 57 lokasi termasuk di sini menerusi 'Operasi Mole' dengan 13 lagi sedang diburu oleh pihak berkuasa.
"Mereka ini dipercayai telah ditugaskan untuk mencari, mengintip, menyerang dan menculik warga Palestin yang tinggal di Turkiye," katanya di laman sosial X.
Bulan lalu, Turkiye mengeluarkan peringatan keras kepada Israel tentang 'akibat serius' jika mereka cuba memburu anggota Hamas yang berada di luar Palestin termasuk negaranya.
Presiden Tayyip Erdogan memberi amaran bahawa ia akan menjadi satu kesilapan. -Reuters