BAITULMAQDIS, 20 Oktober - Sekurang-kurangnya 33 orang terkorban selepas beberapa siri serangan udara dilancarkan Israel terhadap Gaza.
Jumlah itu meningkat berbanding 21 orang seperti dilaporkan sebelum ini.
Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata enam daripada mangsa terbunuh dalam serangan zionis yang menyasarkan orang awam di bandar Zawayda di tengah Gaza.
Enam orang lain, termasuk kanak-kanak, terbunuh dan 13 yang lain cedera dalam dua serangan berasingan berhampiran Nuseirat di tengah Gaza.
Kematian disahkan oleh hospital Al-Aqsa Martyrs dan hospital Al-Awda.
Sementara itu, seorang wanita dan dua kanak-kanak maut apabila serangan dron mengenai sebuah khemah yang menempatkan mereka yang kehilangan tempat tinggal berhampiran Asdaa City, utara Khan Yunis.
Dua orang, termasuk seorang wartawan, terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan Israel di bahagian barat bandar Zawayda di tengah Gaza.
Dalam serangan lain, dua orang terbunuh dan beberapa cedera apabila serangan zionis mengenai khemah di kawasan Kelab Al-Ahli di Nuseirat, tengah Gaza.
Bassal berkata, dua lagi orang terbunuh dalam serangan udara Israel di timur Jabalia, utara Gaza. - AFP