fb fb fb fb fb

30 pendatang hilang, dikhuatiri lemas bot terbalik

(Foto arkib AFP)

ROME, 13 Mac- Kira-kira 30 pendatang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik ketika percubaan menyelamat oleh sebuah kapal kargo di lepas pantai Libya, kata pengawal pantai Itali, pada Ahad.

Menurut pegawai pantai, seramai 17 pendatang diselamatkan dan pencarian diteruskan bagi menyelamatkan mereka yang hilang selepas percubaan menyelamat awal pagi di zon mencari dan menyelamat Libya dilakukan.

"Ketika pemindahan operasi menyelamat, bot itu terbalik dengan 17 orang diselamatkan dan ditemui oleh kapal manakala kira-kira 30 lagi pendatang hilang," katanya.

Tragedi terbaharu di Mediterranean itu berlaku dua minggu selepas kapal karam di pantai selatan Itali Calabria yang mengorbankan sekurang-kurangnya 76 pendatang, dengan mayat terus terdampar hampir setiap hari.

Rom sekian lama mengadu kepada rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) mengenai beban ditanggungnya berdepan puluhan ribu pendatang yang ingin sampai ke Eropah dengan bot setiap tahun.

Sebuah pesawat pengawasan badan bukan kerajaan (NGO) Jerman, SeaWatch yang turut menyaksikan bot itu melaporkan 'bot terbabit membawa muatan berbahaya dan sesak dalam keadaan ombak mengganas.

Dalam satu kenyataan, pengawal pantai Itali mengesahkan bahawa 'Alarm Phone' memberitahu pusat penyelarasan menyelamat Rom, serta pihak berkuasa Malta dan Libya, mengenai bot berkenan.

Kata pengawal pantai, sebuah kapal dagang menuju ke bot selepas amaran oleh SeaWatch melaporkan kesukaran untuk menyelamatkan bot itu akibat cuaca buruk.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak berkuasa di Libya yang dikatakan pengawal pantai bertanggungjawab terhadap usaha mencari dan menyelamat di zon itu, melaporkan 'kekurangan akses aset tentera laut' dan meminta sokongan Rom yang menghantar tiga kapal dagang tambahan yang berdekatan ke kawasan itu.

Operasi menyelamat bermula awal pagi semalam selepas kapal kargo 'Froland' tiba di lokasi di mana bot pendatang itu terbalik, kata pengawal pantai.

Dua daripada 17 pendatang yang diselamatkan itu memerlukan rawatan perubatan segera dan kapal itu menuju ke Malta untuk menurunkan mereka.

Katanya, kapal dagang itu masih berada di kawasan terbabit untuk mencari yang hilang, bersama dua pesawat Frontex.-AFP


(FOTO HIASAN)

Media Baharu