fb fb fb fb fb

3 maut, gempa bumi berukuran 5.9 magnitud di Iran

TEHRAN, 29 Januari - Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud melanda barat laut Iran berhampiran sempadan dengan Turki pada Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan ratusan lagi, kata media kerajaan.

Gempa melanda bandar Khoy di wilayah Azerbaijan Barat pada 9:44 malam (1814 GMT), kata Pusat Seismologi Universiti Tehran.


(Foto Reuters)

“Setakat ini gempa bumi menyebabkan 580 cedera dan tiga maut,” kata gabenor Azerbaijan Barat Mohammad Sadegh Motamedian, dipetik agensi berita IRNA.

"Menteri dalam negeri dan ketua Persatuan Bulan Sabit Merah sedang dalam perjalanan ke Khoy," tambahnya.

Gempa itu turut dirasai di beberapa bandar termasuk ibu kota wilayah dan bandar terbesar Urmia.

Beberapa gegaran susulan turut direkodkan.

Gabenor Khoy, Zabihullah Kazemi memberitahu agensi berita negeri bahawa 15 pasukan telah dihantar ke kawasan terjejas untuk menilai tahap kerosakan dan memberikan bantuan.

Wilayah itu dikejutkan dengan gegaran berukuran 5.4 pada skala Richter awal bulan ini, dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Iran terletak di atas sempadan beberapa plat tektonik utama dan mengalami aktiviti seismik yang kerap.

Pada 18 Januari, gempa 5.8 berhampiran Khoy menyebabkan ratusan cedera.

Pada Februari 2020, gempa bumi berukuran 5.7 magnitud yang menggegarkan perkampungan barat Habash-e Olya membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di sempadan di negara jiran Turki.

Gempa paling dahsyat di Iran yang direkodkan ialah gegaran 7.4 magnitud pada 1990 yang membunuh 40,000 orang di utara negara itu, mencederakan 300,000 dan menyebabkan setengah juta kehilangan tempat tinggal. - AFP



Media Baharu