NEW DELHI, 29 Jun- Tiga maut manakala enam lagi cedera dalam insiden rempuhan pada Festival Kereta Kuda yang berlaku di negeri timur India, Odisha, awal pagi Ahad.
Menurut Ketua Pengarah Polis Odisha, Y.B. Khurania, kesemua mangsa yang cedera berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
"Seramai tiga orang disahkan meninggal dunia dan enam lagi mengalami kecederaan. Namun mereka yang cedera tidak berada dalam keadaan kritikal," katanya.
Menurut seorang pegawai kanan pentadbiran yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku pada awal pagi ketika ribuan penganut Hindu berhimpun untuk menyertai upacara tahunan iaitu Festival Kereta Kuda di bandar Puri.
Saksi kejadian, Swadhin Kumar Panda memaklumkan bahawa rempuhan berpunca daripada penutupan pintu keluar utama yang lazimnya digunakan para penganut selepas upacara itu.
Susulan kejadian itu, sebuah pintu khas untuk kegunaan tetamu kenamaan (VIP) telah dibuka sebagai ganti.
"Hanya satu pintu digunakan bagi laluan masuk dan keluar. Akibatnya, jumlah pengunjung terus bertambah sepanjang malam," jelas beliau.
Sementara itu, seorang mangsa, Dilip Kumar Sahoo, yang kehilangan isterinya dalam kejadian tersebut, berkata isterinya mungkin dapat diselamatkan sekiranya kemudahan ambulans disediakan.
"Saya terpaksa mendukung isteri saya ke hospital kerana tiada ambulans ketika itu," katanya.
Insiden rempuhan semasa perhimpunan keagamaan berskala besar sering berlaku di India berikutan orang ramai berkumpul di ruang sempit tanpa mematuhi protokol keselamatan.- REUTERS